
Katanya, kerajaan awam, Jemaah Menteri, dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi, dan jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam tidak akan terganggu dengan pengisytiharan ini.
Namun, dalam tempoh darurat ini, katanya, “kuasa eksekutif persekutuan akan meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri” kecuali bagi apa-apa perkara hukum syarak, adat Melayu, adat anak negeri, agama, kewarganegaraan, dan bahasa.
“Selain itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Agong,” katanya dalam ucapan, menyusuli pengisytiharan darurat pagi tadi.
Dalam pada itu, sepanjang tempoh darurat ini, jika Agong “berpuas hati ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa”.
“Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Agong bagi tujuan membendung wabak Covid-19,” katanya.
Pengisytiharan darurat hampir lapan bulan sehingga 1 Ogos ini menyusuli pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan dua minggu sehingga 26 Jan di beberapa negeri ekoran peningkatan kes Covid-19.
Kecemasan itu berlatarkan persoalan mengenai bilangan sebenar sokongan ahli Dewan Rakyat kepada pentadbiran Muhyiddin, selepas beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional menarik balik sokongan dan desakan supaya pilihan raya diadakan.
Berkenaan desakan itu, Muhyiddin hari ini mengumumkan pilihan raya umum, pilihan raya negeri, dan pilihan raya kecil tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa.
“Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan ialah pandemik Covid-19.”
Beliau beri komitmen pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja suatu Jawatankuasa Khas Bebas, yang akan ditubuhkan untuk menasihati Agong, memperakukan wabak Covid-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat untuk diadakan.
Jawatankuasa ini, katanya, akan menasihati Agong sama ada darurat besar masih berlaku dalam negara bagi meneruskan tempoh kuat kuasa darurat atau menamatkannya lebih awal.