Bursa ditutup tinggi hari pertama PKP

Bursa ditutup tinggi hari pertama PKP

Sentimen pasaran bertambah baik kerana proklamasi darurat di seluruh negara menghapuskan ketidaktentuan dalam negara dan disokong harga minyak yang terus berlegar di atas paras USD56 setong.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 949 berbanding 348, manakala 309 kaunter tidak berubah, 493 tidak diniagakan dan 11 lagi digantung.
KUALA LUMPUR:
Minat pelabur terhadap Bursa Malaysia terus meraih momentum, membantu pasaran saham ditutup tinggi pada hari pertama pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP).

Keseluruhannya, sentimen pasaran bertambah baik kerana proklamasi darurat di seluruh negara menghapuskan ketidaktentuan di dalam negara dan disokong harga minyak yang terus berlegar di atas paras USD56 setong.

Pada 5 petang, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 24.65 mata kepada 1,636.69 berbanding paras penutup 1,612.04 semalam.

Indeks itu dibuka tinggi, melonjak 5.64 mata kepada 1,617.68 dan bergerak antara paras 1,617.68 dan 1,637.10.

Keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 949 berbanding 348, manakala 309 kaunter tidak berubah, 493 tidak diniagakan dan 11 lagi digantung.

Bagaimanapun, jumlah dagangan susut kepada 7.12 bilion unit bernilai RM5.11 bilion daripada 8.41 bilion unit bernilai RM5.76 bilion semalam.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata pelabur nampaknya tidak bimbang dengan pelaksanaan PKP 2.0 dan darurat, memandangkan sekatan yang dikenakan tidak seketat dahulu.

“Juga penggantungan Parlimen bermakna penggubal dasar dapat lebih menumpukan penambahbaikan ekonomi daripada terpaksa berdepan perbezaan politik,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, peningkatan saham perbankan membantu meningkatkan Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa Malaysia sebanyak 3.5%, namun penurunan kaunter penjagaan kesihatan dan sarung tangan getah menyebabkan sektor penjagaan kesihatan Bursa Malaysia susut 0.1%.

Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti jualan singkat dalam kaunter sarung tangan getah dan penjagaan kesihatan memandangkan persekitaran jualan pantas ketika ini.

Dalam pasaran minyak, aliran meningkat berterusan selepas American Petroleum Institute melaporkan pengeluaran besar inventori minyak mentah sebanyak 5.821 juta tong bagi minggu berakhir 8 Jan berbanding 1.661 juta tong pada minggu sebelumnya.

Kaunter perbankan menerajui kaunter wajaran tinggi dengan Public Bank melonjak RM1.32 kepda RM21.40, Maybank naik 30 sen kepada RM8.30, CIMB meningkat 15 sen kepada RM4.07 dan RHB Bank menokok 14 sen kepada RM5.47.

Bagaimanapun, IHH susut 10 sen kepada RM5.45, Top Glove turun lima sen kepada RM6.63, Hartalega jatuh 14 sen kepada RM13 dan Supermax berkurangan 19 sen kepada RM7.11.

Dalam kalangan kaunter cergas, Kanger International naik 1.5 sen kepada 15 sen, Metronic meningkat 11 sen, manakala PNEPCB dan Yong Tai masing-masing menokok setengah sen kepada 63 sen dan 30 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 196.70 mata kepada 11,748.76, Indeks FBMT 100 meningkat 190.01 mata kepada 11,490.25 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 95.15 mata kepada 13,254.98.

FBM 70 naik 311.49 mata kepada 14,821.08 dan FBM ACE meningkat 188.54 mata kepada 10,692.03.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 519.23 mata kepada 15,065.74, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 2.58 mata kepada 175.54 dan Indeks Perladangan naik 20.68 mata kepada 7,483,12.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 4.76 bilion saham bernilai RM4.43 bilion daripada 5.17 bilion saham bernilai RM4.74 bilion.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 500.21 unit bernilai RM81.51 juta, berbanding 537.39 juta unit bernilai RM81 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE jatuh kepada 1.86 bilion saham bernilai RM592.77 juta daripada 2.7 bilion saham bernilai RM939.38 juta.

Produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 513.47 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.89 bilion), pembinaan (238.91 juta), teknologi (373.91 juta), SPAC (0), perkhidmatan kewangan (11757.19 juta), hartanah (380.92 juta), perladangan (117.33 juta), REITs (13.31 juta), dana tertutup (16,300), tenaga (629.16 juta), penjagaan kesihatan (105.78 juta), telekomunikasi dan media (80.11 juta), pengangkutan dan logistik (261.84 juta) serta utiliti (37.33 juta).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.