Akta baru boleh dikuat kuasa lebih cepat ketika darurat, kata Annuar

Akta baru boleh dikuat kuasa lebih cepat ketika darurat, kata Annuar

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, dalam keadaan biasa, undang-undang baru hanya boleh dikuatkuasakan selepas dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta diperkenankan Agong.

Annuar Musa berkata, dalam keadaan darurat, kerajaan boleh mengemukakan undang-undang baru itu kepada Agong tanpa perlu melalui Dewan Rakyat atau Dewan Negara.
PETALING JAYA:
Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, pelaksanaan darurat membolehkan kerajaan menguatkuasakan undang-undang baru lebih cepat.

Dalam keadaan biasa, katanya, undang-undang baru hanya boleh dikuatkuasakan selepas dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

“Ada perkara yang secara cepat perlu kuat kuasa undang-undang. Cara kuat kuasa undang-undang biasa akan mengambil masa empat hingga enam bulan, tetapi untuk Covid, kita kena bertindak serta-merta,” katanya dalam video siaran langsung di Facebooknya.

Dalam keadaan darurat, beliau berkata, kerajaan boleh mengemukakan undang-undang baru itu kepada Agong tanpa perlu melalui Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

Katanya, proses itu hanya berlaku ketika darurat dan semua undang-undang baru perlu dibentangkan di Parlimen selepas darurat berakhir.

Annuar berkata, sekarang bukan masanya untuk berpolitik, sebaliknya lebih banyak tumpuan perlu diberikan dalam usaha membantu rakyat.

Mengenai dakwaan beliau mengubah keputusan membuka semula taman awam seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), beliau berkata, perubahan itu dibuat berdasarkan aduan orang ramai, penilaian serta perbincangan dengan perdana menteri dan Majlis Keselamatan Negara.

“‘Flip flop’ ke arah kebaikan tak apa, (tapi) jangan ‘flip flop’ yang menimbulkan kekeliruan. ‘Flip flop’ ataupun ubah keputusan untuk kebaikan rakyat dan benda yang baik mesti kita lakukan.

“Soal seperti dobi layan diri, kedai cermin mata, taman awam dan mungkin ada lagi selepas ini. Kita mesti menjadi kerajaan yang lebih mendengar, tidak boleh (jadi) kerajaan yang asal keluar peraturan saja, ini tak boleh, itu tak boleh.”

Program edar ayam beku percuma

Annuar menegur Pemuda Umno menganjurkan program pengedaran ayam beku percuma di Putrajaya tanpa kebenaran polis.

“Minta maaf, kalau buat program, mestilah kena ada kebenaran pihak berkuasa, tapi kalau tidak ada kebenaran, ia satu kesalahan dan bila ada kesalahan, proses biasa terpaksa kita lakukan.

“Tidak salah nak buat ‘charity’, nak bagi barang apa-apa, tapi SOP jangan dilanggar.”

Katanya, beliau sendiri juga bersedia mengadakan program agihan bantuan beras percuma kepada asnaf dan orang miskin yang akan membabitkan ribuan orang setiap minggu.

“Pada mulanya saya nak buat di satu tempat saja, di Yayasan Wilayah Persekutuan atau DBKL. Tapi bila difikirkan balik, jika seribu orang yang datang, saya sendiri pun melanggar SOP.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.