
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Johor Mohd Salleh Abdullah berkata, dalam tempoh itu, mangsa dihubungi seorang individu melalui nombor +087 0088 454222 yang mendakwa dari pejabat Pos Sabah.
Katanya, mangsa berusia 37 tahun itu juga diberitahu pihak yang menelefon bahawa maklumat dirinya telah disalahgunakan untuk penghantaran kad ATM dan juga kad kredit.
“Mangsa turut dihubungi oleh ahli sindiket Macau Scam ini yang menyamar sebagai polis Sabah dengan menggunakan nombor talian +011 1154 2554 dan memberitahu dirinya terlibat dengan kes pengubahan wang haram.
“Mangsa yang panik dan cemas dengan panggilan berkenaan mengikut arahan yang diberikan dalam telefon untuk membuat pembayaran bagi membersihkan namanya daripada kes pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Salleh berkata, bermula 15 hingga 18 Nov tahun lalu, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat dengan jumlah keseluruhannya RM200,000 ke dalam akaun bank yang diberikan oleh ahli sindiket.
Katanya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila menghubungi polis Sabah yang memaklumkan ini adalah perbuatan sindiket terbabit.
“Polis Johor sentiasa mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa yang berkenaan sebelum memindahkan sebarang transaksi kewangan kepada akaun bank individu yang tidak dikenali.
“Orang ramai juga jangan mudah panik dan cemas sekiranya dihubungi oleh orang yang tidak dikenali, dengan memberitahu mereka terlibat dengan kes jenayah…ini kerana pihak polis tidak sewenang-wenangnya menghubungi anda untuk menyelesaikan kes,” katanya.
Beliau berkata, polis juga tidak pernah mengenakan sebarang bayaran untuk menyelesaikan kes jenayah. Orang ramai boleh menyemak nombor akaun yang terlibat dengan kes jenayah komersial menerusi portal ccid.rmp.gov.my selain menghubungi terus talian 013-211 1222 untuk pertanyaan kes jenayah komersial.