
“Kebanyakan insiatif yang diumumkan tadi sebenarnya sudah ada dalam Belanjawan 2021 dan bukan khusus untuk pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan darurat ini.
“Lanjutan moratorium pinjaman masih bukan automatik dan tiada faedah seperti moratorium pertama tahun lepas. Masih terpulang kepada bank masing-masing,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Dalam pada itu, Najib berkata, terdapat sedikit kelegaan kepada pemohon kategori 2 i-Sinar apabila kerajaan bersetuju membayar wang pendahuluan sebanyak RM1,000 bagi pemohon di bawah kategori itu.
Ahli Parlimen Pekan itu antara pemimpin yang lantang mendesak kerajaan Perikatan Nasional membenarkan lanjutan moratorium pinjaman bank secara automatik sekurang-kurangnya enam bulan lagi dan memudahkan pengeluaran i-Sinar tanpa syarat kepada kategori 1 dan 2 susulan peningkatan penularan Covid-19 di dalam negara.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin petang tadi mengumumkan pembayaran pendahuluan itu akan dibayar bermula 26 Jan ini.
Katanya, setakat 13 Januari, lebih 3 juta permohonan diluluskan dengan jumlah RM24 bilion akan disalurkan pada tahun ini.
KWSP pada 2 Disember tahun lalu mengumumkan 2 kategori pencarum KWSP yang layak mengeluarkan wang simpanan Akaun 1 menerusi skim i-Sinar.
Kategori 1 yang layak adalah ahli KWSP yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri dan bekerja dalam sektor ekonomi gig serta ahli KWSP yang sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.
Kategori 2 pula ahli KWSP yang masih bekerja, tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30% dan ke atas.
Pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum 6 bulan dengan bayaran pertama sehingga RM10,000.