7 kluster baru, 3 berkaitan tempat kerja

7 kluster baru, 3 berkaitan tempat kerja

Dua lagi kluster berkaitan komuniti dan masing-masing satu kluster keagamaan serta pusat tahanan.

Sebanyak 95 daripada 356 kluster aktif mencatatkan pertambahan kes hari ini.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan mengesan tujuh lagi kluster baru di lima negeri dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripada kluster itu berkaitan tempat kerja, selebihnya dua berkaitan komuniti dan masing-masing satu keagamaan serta pusat tahanan.

Ia adalah kluster Jalan Cochrane di Kuala Lumpur, Jalan Platinum dan Jalan Padi Mahsuri di Johor, Intan Delima di Negeri Sembilan, Kampung Bukit Putera dan Tembok Bukit Besi di Terengganu serta Keladi Saga di Kedah.

Kluster Jalan Cochrane

Kluster tempat kerja ini melibatkan Titiwangsa di Kuala Lumpur, dengan kes positif dikesan hasil saringan bersasar ke atas pengawal keselamatan sebuah pusat membeli-belah.

Sebanyak 26 kes positif dilaporkan selepas 76 orang disaring.

Kluster Jalan Platinum

Kluster tempat kerja ini dikesan di Johor Bahru, Johor hasil saringan bersasar pekerja sebuah kilang di Jalan Platinum, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang.

Seramai 66 individu disaring dan 33 daripadanya disahkan positif.

Kluster Jalan Padi Mahsuri

Kluster komuniti ini membabitkan daerah Kulai di Johor. Kes indeks dikesan hasil saringan pra-pekerjaan pada 23 Jan lalu dan 25 daripada 28 orang yang disaring disahkan positif.

Kluster Intan Delima

Kluster tempat kerja ini dikesan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Kes indeks dilaporkan positif 16 Jan lalu menerusi saringan individu bergejala yang mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri dari Johor.

Kluster ini membabitkan sebuah institusi pendidikan awam terletak antara Taman Bukit Intan dan Taman Bahagia Delima. Sebanyak 25 kes positif direkodkan selepas 253 individu disaring.

Kluster Keladi Saga

Kluster berkaitan keagamaan ini di Kulim, Kedah ini dikesan selepas kes indeks disahkan positif 21 Jan lalu hasil saringan individu bergejala.

Nama kluster ini merujuk lokaliti kes dilaporkan berlaku di Kampung Keladi dan Taman Saga, Kulim. Sebanyak 34 kes positif dicatatkan selepas 49 individu disaring.

Kluster Tembok Bukit Besi

Kluster pusat tahanan di Dungun, Terengganu ini dikesan selepas kes indeks dilaporkan positif 4 Jan lalu melalui saringan tahanan di Pusat Koreksional Dungun.

Seramai 1,131 individu disaring dan 99 kes positif direkodkan.

Kluster Kampung Bukit Putera

Kluster komuniti ini dikesan di Setiu, Terengganu dengan kes indeks merupakan kes Severe Acute Respiratory Infections yang dilaporkan positif 13 Jan lalu.

Nama kluster ini merujuk lokaliti kediaman kes indeks di Kampung Bukit Putera, Bandar Permaisuri. Sebanyak 25 kes positif dicatatkan selepas 293 orang disaring.

Hisham berkata, dua kluster tamat hari ini, iaitu Teguli dan Desa Pinang, menjadikan keseluruhan 397 daripada 753 kluster sudah berakhir.

Katanya, 95 daripada 356 kluster aktif mencatatkan pertambahan kes hari ini.

“Kluster dengan pertambahan kes baru tertinggi hari ini adalah Pasai (111), Seri Bayu (61) dan Jalan Platinum (33),” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.