
Beliau dalam kenyataan berkata, semakan status kelulusan boleh dibuat mulai esok melalui https://gkp.hasil.gov.my.
Bagi memastikan PKS mikro benar-benar layak menerima bantuan ini dan memenuhi syarat, katanya, setiap permohonan rayuan yang diterima Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) disemak silang atau diverifikasi dengan data agensi kerajaan berkaitan, termasuk di peringkat pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Tempoh permohonan Rayuan GKP 2.0 dibuka antara 7 dan 21 Dis lalu.
Mengambil kira GKP 1.0 dan 2.0, termasuk rayuan yang diluluskan, semua penerima berjumlah hampir 900,000 PKS mikro dengan bantuan kewangan mencecah RM2.7 bilion.
Di bawah pakej rangsangan ekonomi KITA PRIHATIN, kerajaan membuka semula permohonan untuk GKP 2.0 yang merupakan bantuan kewangan “one-off” berjumlah RM3,000 kepada PKS mikro berkelayakan dan tidak pernah menerima GKP sebelum ini.
GKP 2.0 dilaksanakan untuk meringankan beban kewangan peniaga ekoran penularan Covid-19 dan meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan mereka.
Bagi 2021, kerajaan di bawah Belanjawan 2021 memperuntukkan RM50 juta bagi bantuan kewangan sebanyak RM1,000 melalui GKP Tambahan yang akan diberikan kepada 50,000 peniaga dan penjaja di Sabah.
Perluasan inisiatif bantuan GKP Tambahan atau GKP PERMAI seperti diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia melibatkan peruntukan tambahan hampir RM830 juta.
Ia dijangka memberi manfaat kepada 815,000 PKS di semua negeri yang melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan bayaran RM1,000, manakala 35,000 PKS di luar kawasan PKP akan menerima RM500.
“Kerajaan berharap bantuan langsung yang disalurkan kepada PKS mikro ini akan meringankan beban mereka, terutamanya PKS mikro yang amat terkesan akibat pelaksanaan PKP atau PKP bersyarat,” katanya.