
Presidennya, Jacob Lee, berkata ambang semasa tidak lagi mencerminkan realiti perindustrian hari ini dan berisiko mengklasifikasikan pengilang peringkat pertengahan sebagai firma besar, sekali gus berpotensi tertakluk kepada beban kawal selia dan kos yang tidak seimbang.
“Pengilang peringkat pertengahan merupakan bahagian penting dalam ekonomi Malaysia, menyumbang kepada pekerjaan, eksport, inovasi dan penciptaan nilai domestik, selain menghubungkan pembekal kecil dengan syarikat multinasional,” katanya dalam satu kenyataan.
Lee berkata, menaikkan ambang tersebut akan memastikan pengilang peringkat pertengahan tidak dikecualikan daripada program sokongan.
“Semakan sedemikian menyelaraskan Malaysia dengan piawaian serantau dan global dengan lebih baik, mencerminkan perubahan ekonomi dan mata wang sejak 2013, menggalakkan peningkatan skala serta penggabungan dalam kalangan firma.
“Ia juga dapat mengukuhkan daya tahan dan daya saing keseluruhan ekosistem perindustrian Malaysia,” katanya.
Lee mengulas beberapa inisiatif kerajaan yang diumumkan semalam oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, termasuk pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan sewaan untuk PKS dengan perolehan tahunan sehingga RM1.5 juta.
Menyambut baik pengecualian itu, beliau berkata pengilang barangan bercukai juga wajar dikecualikan daripada cukai ke atas perkhidmatan input seperti sewaan dan logistik.
“(Ini) bagi mengelakkan kesan cukai atas cukai yang meningkatkan kos perniagaan.
“Pelepasan cukai perkhidmatan dan pengecualian cukai jualan yang disasarkan memberikan ruang yang amat diperlukan untuk mengurus aliran tunai, melabur semula dalam penambahbaikan produktiviti, dan menyokong kesinambungan perniagaan,” katanya.