Bekas ketua hakim negara, ketua polis negara dan ketua pengarah kesihatan anggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

Bekas ketua hakim negara, ketua polis negara dan ketua pengarah kesihatan anggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

Bekas Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin, bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Mohamad Taha Arif, Pakar Bedah Jantung Dr Yahya Awang turut terbabit dalam jawatankuasa berkenaan.

PETALING JAYA:
Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan 19 ahli yang terbabit dalam Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021, yang sebelum ini sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong susulan pelaksanaan proklamasi darurat.

Antara individu yang terbabit dalam jawatankuasa berkenaan adalah bekas Ketua Hakim Negara Arifin Zakaria yang menjawat tugas sebagai Pengerusi. Ia turut dianggotai bekas Ketua Setiausaha Negara Samsudin Osman serta bekas Ketua Polis Negara Norian Mai.

Bukan itu sahaja, bekas Panglima Angkatan Tentera Zulkifli Zainal Abidin, bekas Ketua Pengarah Kesihatan Dr Mohamad Taha Arif, Pakar Bedah Jantung Dr Yahya Awang turut terbabit dalam jawatankuasa berkenaan.

Selain itu, turut terbabit dalam jawatankuasa itu ialah Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia Ter Leong Yap, Pro-Canselor Universiti Cyberjaya Dr R Palan, bekas Timbalan Pendakwa Raya Pejabat Peguam Negara Sallehuddin Saidin, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, Pakar Kesihatan Awam Dr Andrew Kiyu Dawi Anak Yusof dan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Sukarti Wakiman.

Sementara itu, Ahli Parlimen yang dilantik dalam jawatankuasa berkenaan adalah Noh Omar (Tanjung Karang), Rohani Abdul Karim (Batang Lupar), Azizah Mohd Dun (Beaufort), Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh), Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu), Loke Siew Fook (Seremban) dan Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor).

Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pula berperanan sebagai urus setia jawatankuasa ini.

“Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang ditubuhkan di bawah Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berperanan menasihati Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.