Saifuddin, Loke, Dzulkefly wakili PH ke Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

Saifuddin, Loke, Dzulkefly wakili PH ke Jawatankuasa Khas Bebas Darurat

PH kekal dengan pendirian darurat perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang segera.

Saifuddin Nasution Ismail, Loke Siew Fook dan Dzulkefly Ahmad.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan menyerahkan nama tiga Ahli Parlimen untuk menyertai Jawatankuasa Khas Bebas bagi mengendalikan pelaksanaan darurat, yang akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bagi meneruskan tempoh kuat kuasa atau menamatkannya lebih awal.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Bharu, Saifuddin Nasution Ismail dari PKR; Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook dari DAP; dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dzulkefly Ahmad dari Amanah, dinamakan untuk mewakili gabungan itu.

“Penyertaan wakil pembangkang ke dalam Jawatankuasa Bebas ini tidak mengubah pendirian kami bahawa alasan-alasan yang dikemukakan perdana menteri berkenaan keperluan darurat tidak dapat diterima,” katanya dalam kenyataan.

Tambah mereka lagi, majoriti Ahli Parlimen kekal berpendirian darurat perlu ditamatkan dan Parlimen perlu bersidang dengan kadar segera.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas berkata Jawatankuasa Khas Bebas itu ditubuhkan bawah suatu ordinan bagi menjamin pelaksanaan darurat secara adil dan telus, untuk menasihat Agong sama ada darurat besar masih berlaku.

Kerajaan dengan persetujuan Agong mengisytiharkan darurat sehingga 1 Ogos ini atau lebih awal, jika jumlah kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Agong turut bersetuju dengan cadangan membentuk jawatankuasa khas bebas yang akan dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang serta pakar kesihatan dan yang berkaitan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.