
Liaw Kit Siong berkata, notis surcaj bahan api yang dikenakan oleh China Southern Airlines bermula 6 April mungkin mendorong syarikat penerbangan lain mengambil langkah serupa, dengan kos tambahan tersebut akan ditanggung oleh pengguna.
Harga bahan api yang lebih tinggi itu akan menjejaskan harga pakej pelancongan masuk dan perjalanan keluar negara, yang dianggarkan meningkat antara 10% hingga 30% bergantung pada laluan.
Liaw yang juga pengerusi Airworld Travel and Tour menyeru agar jadual perjalanan pakej ke luar negara menyatakan dengan jelas bahawa surcaj bahan api adalah tertakluk kepada perubahan dan tidak termasuk dalam harga asal pakej, bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.
Dayak Daily melaporkan Liaw turut menggesa pihak berkuasa mencari penyelesaian memandangkan konflik di Timur Tengah dijangka berterusan selama beberapa bulan lagi.
Antara penyelesaian yang dicadangkan beliau termasuk pengecualian kenaikan harga bahan api bagi semua kenderaan pengangkutan berkaitan pelancongan atau memperkenalkan dasar khas untuk pengisian bahan api pesawat di Sabah.
Pada Selasa, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memberi amaran kepada orang ramai supaya bersedia berdepan harga tiket penerbangan yang lebih tinggi susulan peningkatan mendadak kos bahan api jet global.
Harga bahan api jet telah melonjak sejak bermulanya perang di Timur Tengah lewat bulan lepas, daripada USD85–USD90 setong sebelum peperangan kepada antara USD150 dan USD200 setong.
Syarikat-syarikat penerbangan seperti Cathay Pacific, AirAsia, Thai Airways dan Qantas telah menaikkan tambang atau memperkenalkan surcaj bahan api, malah meningkatkannya sehingga tiga kali ganda dalam sesetengah kes, bagi menampung kos.
Loke juga berkata, syarikat penerbangan tempatan terpaksa mengenakan surcaj bahan api dan mengurangkan penerbangan di laluan tertentu yang mempunyai muatan penumpang terlalu rendah, demi mengekalkan kecekapan operasi.
Dua hari lalu, Batik Air Malaysia berkata, pihaknya akan mengurangkan 35% daripada penerbangan berjadualnya pada separuh pertama bulan ini, manakala AirAsia memaklumkan tambangnya mungkin mengalami sedikit kenaikan.