Aerotrain KLIA sambung operasi 24 jam mulai esok

Aerotrain KLIA sambung operasi 24 jam mulai esok

Menteri pengangkutan berkata pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin dijalankan setiap hari dari tengah malam hingga 5 pagi, dengan sebuah tren terus beroperasi.

aerotrain klia
Aerotrain membawa kira-kira tujuh juta penumpang dan melengkapkan lebih 53,000 perjalanan ulang alik sejak operasinya disambung semula 1 Julai 2025. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook mengesahkan perkhidmatan aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan kembali beroperasi 24 jam sehari mulai tengah malam ini.

Beliau berkata, pemulihan perkhidmatan ini selepas pelan tindakan menyeluruh yang dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) selesai dan disahkan penilai kereta api bebas.

“Kementerian melalui Apad akan terus menjalankan pengawasan kawal selia ke atas operasi aerotrain, manakala Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kekal bertanggungjawab untuk memastikan piawaian perkhidmatan yang ditetapkan di bawah pelan ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin akan dijalankan setiap hari dari tengah malam hingga 5 pagi, debgan sebuah tren terus terus beroperasi untuk membawa penumpang sepanjang tempoh itu.

Pelan tindakan komprehensif yang dilaksanakan sejak November 2025 merangkumi tiga peringkat berstruktur – pemeriksaan dan kerja pembaikan, ujian dan pengesahan sistem serta operasi percubaan.

“Ujian ketahanan telah dijalankan dalam tempoh 24 jam dan 48 jam di bawah keadaan berpenumpang dan tanpa penumpang. Sejak Januari, aerotrain mencatatkan 100% ketersediaan perkhidmatan operasi.”

November lalu, MAHB menyuarakan komitmennya untuk meningkatkan kebolehpercayaan sistem aerotrain KLIA melalui pelan komprehensif bagi menyelesaikan sepenuhnya isu teknikal yang timbul selepas perkhidmatan disambung semula Julai tahun lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dilaporkan berkata, 19 insiden kecil membabitkan aerotrain direkodkan antara 2 Julai dan 30 Sept 2025, termasuk masalah pada sistem isyarat serta penumpang cuba membuka pintu tren secara manual.

Sejak operasi disambung semula 1 Julai 2025, aerotrain ini membawa kira-kira tujuh juta penumpang dan melengkapkanlebih 53,000 perjalanan ulang alik, dengan mencapai kadar ketersediaan perkhidmatan operasi sebanyak 98.41%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.