
Menterinya, Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu bertujuan untuk memperkemas prosedur memandangkan proses yang panjang akan menjadikan kos operasi lebih tinggi yang seterusnya akan ditanggung pesakit.
“Kami sedang menyemak semula proses pelesenan dan kawal selia Akta 586 kerana kami mendengar kebimbangan industri bahawa ia mengambil masa terlalu lama dan menambah kos yang kelaknya terpaksa ditanggung pesakit,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X.
Dzulkefly turut berkata kementerian mempelawa semua hospital swasta untuk bekerjasama sebagai penyedia Tahap 1 di bawah pelan asas insurans perubatan dan kesihatan serta takaful (MHIT), dan menyertai projek perintis yang akan dilaksanakan secara berperingkat di Lembah Klang bermula Julai.
Beliau berkata jemputan itu juga merangkumi penyertaan dalam Rangkaian Pensijilan Kesihatan Digital Malaysia, serta perkongsian imej radiologi bagi mengelakkan ujian berulang dan mengurangkan kos.
“Seiring dengan transformasi pembiayaan kesihatan yang semakin pantas, pendekatan ‘Whole-of-Nation Approach’ ini menjadi penanda aras, ketika kami memperluas transformasi melangkaui sekadar inflasi perubatan sektor swasta kepada Transformasi Seluruh Sistem,” katanya.