PPR kini dikenali Rumah Malaysia

PPR kini dikenali Rumah Malaysia

Kadar sewa perumahan itu di seluruh negara juga akan diselaraskan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyerahkan kunci kepada penerima unit PPR, Roslan Atil Anak di Johor Bahru hari ini. (Gambar Bernama).
JOHOR BAHRU:
Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dinaik taraf sebagai Rumah Malaysia bermula projek tahun ini, selain keluasan rumah ditambah kepada 900 kaki persegi (kps) berbanding 700kps sekarang, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Selain itu, beliau berkata kadar sewa perumahan itu di seluruh negara juga akan diselaraskan.

Ini merupakan sebahagian pembaharuan dasar yang dibuat oleh kementerian bagi meningkatkan keselesaan dan mutu hidup rakyat, sekali gus menjadikan mereka rakyat yang berkualiti tinggi, katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Taman Seri Molek Perdana Fasa 1 dan PPR Taman Perling Johor.

Turut hadir timbalannya Ismail Abd Muttalib serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata pelbagai fasiliti seperti taman permainan, dewan dan rumah ibadat juga harus disediakan dalam projek Rumah Malaysia bagi mewujudkan persekitaran yang sihat, selain penubuhan jawatankuasa penduduk yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan dan keselamatan.

Selain itu, kementerian juga menetapkan Rumah Malaysia perlu didiami oleh pemohon yang layak dalam tempoh tiga bulan selepas siap bagi menangani masalah kediaman tidak berpenghuni.

“Kerajaan negeri hendaklah beri kerjasama dalam mendapatkan pengisian. Ini termasuk memberi sewaan selama dua tahun sementara pemohon terlibat menguruskan pinjaman bank dan sebagainya.

“Sekiranya selepas tempoh dua tahun mereka masih gagal mendapatkan pinjaman bank, kerajaan negeri harus mengambil keputusan sama ada memberikan tempoh lanjutan sewaan atau mencari pemohon baharu,” katanya.

Zuraida berkata untuk tahun ini, sebanyak 11 projek Rumah Malaysia membabitkan 4,120 unit akan dibina di seluruh negara dengan tiga daripadanya di Johor, iaitu di Kluang, Sembrong dan Pengerang.

Semua projek terbabit masih dalam proses tender.

Berhubung majlis hari ini, Zuraida berkata penyerahan kunci itu melibatkan 160 unit kediaman dan lapan unit kedai daripada keseluruhan 972 unit di Taman Seri Molek Perdana, serta 525 unit PPR Taman Perling.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.