Kini, pekerja pembersihan hospital termasuk dalam fasa pertama

Kini, pekerja pembersihan hospital termasuk dalam fasa pertama

Khairy Jamaluddin berkata, Putrajaya cuba seluas mungkin untuk merangkumi seluruh sektor kesihatan.

Kakitangan pembersihan hospital kini juga dianggap sebagai barisan hadapan seperti doktor, jururawat, pembantu perubatan dan pemandu ambulans. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pekerja kontrak di hospital seperti kakitangan pembersihan kini termasuk dalam fasa pertama program imunisasi Covid-19 kebangsaan sebagai barisan hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, Putrajaya cuba seluas mungkin untuk merangkumi seluruh sektor kesihatan.

“Ia merangkumi pekerja kontrak di hospital, yang terlibat dalam kerja pembersihan. Mereka termasuk dalam fasa pertama,” katanya pada sidang media selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menerima vaksin pertama Covid-19.

Empat barisan hadapan lain turut menyertai Muhyiddin dan ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendapatkan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 iaitu seorang jururawat, pegawai perubatan, pembantu perubatan dan pemandu ambulans.

Khairy berkata, Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 masih membincangkan cadangan untuk memasukkan guru berisiko tinggi dalam fasa pelalian pertama tersebut.

Sebelum ini, Dr Hanif Zailani, pakar kesihatan awam dari bahagian kawalan penyakit kementerian, mengatakan bahawa bekalan vaksin tidak mencukupi untuk memvaksin pembersih hospital pada fasa pertama.

Ia mendorong presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy mendesak Putrajaya untuk memberi keutamaan vaksinasi kepada pembersih hospital sebelum wakil rakyat.

Khairy berkata, buat masa ini orang ramai boleh mendaftar untuk suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera, manakala pendaftaran dalam talian dan melalui hotline program imunisasi akan bermula pada 5 Mac.

Beliau berkata kaunter pendaftaran manual juga akan dibuka di hospital dan klinik kerajaan, sementara unit bergerak akan dikerahkan untuk menghubungi mereka yang berada di kawasan pedalaman.

Jelasnya pendaftaran awal melalui aplikasi itu tidak akan membawa sebarang perbezaan jika individu itu dikategorikan di bawah Tahap 3, kerana program tersebut akan mengutamakan fasa pertama dan kedua.

Zon merah di negeri-negeri juga akan diberi keutamaan untuk vaksinasi, sebaliknya jika kebanyakan atau semua daerah di sesebuah negeri itu adalah zon hijau, maka kepadatan penduduk akan dipertimbangkan.

Tambahnya, ciri untuk mendaftarkan tanggungan bagi suntikan vaksin melalui MySejahtera dijangka siap pertengahan bulan depan.

“Ia akan membantu orang ramai untuk mendaftarkan ibu bapa mereka yang sudah tua yang mungkin tidak mempunyai aplikasi MySejahtera, misalnya,” katanya.

Khairy turut berkata individu yang telah mendaftar akan dimaklumkan mengenai tarikh temu janji dan lokasi pusat vaksinasi mereka dua minggu sebelum temujanji mereka, baik melalui aplikasi, panggilan telefon atau pesanan teks.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.