BN Kedah perlu figura macam KJ, kata pemimpin Pemuda Umno

BN Kedah perlu figura macam KJ, kata pemimpin Pemuda Umno

Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah Mohd Safwan Jaafar berkata BN Kedah perlu pemimpin dilihat mampu memberi nafas baharu.

KHAIRY JAMALUDDIN UMNO FMT 20126
Pemuda Umno Kedah berkata kehadiran tokoh seperti Khairy Jamaluddin mampu menjadi pemangkin kebangkitan semula BN di negeri itu.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Pemuda Umno Kedah berkata Barisan Nasional (BN) negeri itu memerlukan figura seperti Khairy Jamaluddin bagi memacu semula kebangkitan dalam politik, ekonomi dan sosial.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah, Mohd Safwan Jaafar, berkata ideologi dan pemikiran bekas menteri itu juga boleh merangsang perubahan dari segi pemikiran rakyat negeri tersebut.

“BN Kedah memerlukan seorang figura yang dilihat mampu memberi nafas baharu bagi memacu pertumbuhan politik, ekonomi dan sosial negeri ini.

“Figura seperti Khairy Jamaluddin contoh terbaik yang perlu dibawa kepada BN Kedah,” katanya dalam kenyataan.

FMT pada 11 April lalu memetik kenyataan penganalisis yang berpandangan Umno Kedah tidak boleh hanya bergantung kepada slogan bertanding solo untuk memulihkan sokongan, sebaliknya perlu menampilkan calon mampu menyaingi populariti Menteri Besar Sanusi Nor.

Hisommudin Bakar dari Ilham Centre berkata, Sanusi ketika ini mempunyai kelebihan dari segi visibiliti dan naratif kepimpinan.

Khairy yang dipecat Umno pada 2023 memohon menyertai semula Umno dengan permohonannya dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi parti, Jumaat ini.

Mengulas lanjut, Safwan berkata Khairy juga mempunyai hubungan baik dengan pimpinan negeri, selain latar belakang keluarga yang berkait dengan Kedah.

“Beliau mempunyai susur galur ibunya yang berasal dari Kedah, sekali gus memberi kelebihan untuk lebih memahami aspirasi rakyat tempatan,” katanya.

Menurutnya, kehadiran tokoh seperti Khairy mampu menjadi pemangkin kebangkitan semula BN di negeri itu.

“Wajarlah untuk beliau memberikan nafas baharu kepada BN Kedah dan seterusnya membesarkan api kebangkitan BN negeri,” katanya.

BN dan Umno Kedah ketika ini dipimpin bekas menteri Mahdzir Khalid.

Pada PRN 2023, BN mencatatkan prestasi hambar apabila gagal merebut sebarang kerusi DUN, begitu juga PRU 2022 yang menyaksikan gabungan itu gagal menang mana-mana Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.