
Bekas menteri besar Perak itu menjelaskan, beliau mahu berbincang terlebih dahulu dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai lantikan berkenaan.
“Saya mendapat laporan nama saya akan dicadangkan dan saya belum berbincang dengan PM (perdana menteri) berkenaan hal itu, tetapi setakat ini secara peribadi saya mahu lebih fokus kepada usaha untuk buat kerja politik, persiapkan PPBM pada PRU akan datang.
“Namun jika perkara ini (lantikan pengerusi KTMB) diumumkan oleh PM sebagai satu perkara yang perlu dibuat demi rakyat, saya akan terima.
“Namun, sebaik boleh untuk diri saya secara peribadi, saya harap dapat beri fokus untuk kerja politik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Pusat Perkhidmatan Gerakan Ipoh.
Majlis dirasmikan Presiden Gerakan Dominic Lau Hoe Chai.
Faizal berkata, beliau juga belum dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan lantikan untuk jawatan itu tetapi menghargainya.
Mengulas lanjut, beliau berkata ada cabaran untuknya laksanakan di KTMB jika menerima jawatan itu.
“Kita tahu sebelum ini KTMB mengalami kerugian yang panjang, ‘its a challenge for me’, ia satu perkara yang saya rasa teruja juga,” katanya.
Sebuah portal sebelum ini melaporkan pelantikan Faizal sebagai pengerusi baharu KTMB dijangka berkuat kuasa bulan depan bagi menggantikan Rameli Musa yang dilantik bagi jawatan itu pada Feb 2019 dan kontrak tiga tahunnya akan berakhir hujung bulan ini.