Maszlee hantar tuntutan desak Asyraf minta maaf secara terbuka

Maszlee hantar tuntutan desak Asyraf minta maaf secara terbuka

Beliau berharap tindakan itu akan menyedarkan semua pihak tanpa mengira parti politik, budaya fitnah jahat berunsur perkauman perlu segera dihentikan.

PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik sudah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana fitnah berhubung isu buku teks sejarah tingkatan 4 yang dibangkitkannya sebelum ini.

Maszlee berkata, beliau berharap tindakan itu akan menyedarkan semua pihak, tanpa mengira parti politik, budaya fitnah jahat berunsur perkauman perlu segera dihentikan apatah lagi ia melibatkan isu pendidikan negara, khususnya pendidikan anak-anak.

“Saya sudah mendapat nasihat daripada peguam saya dan mengarahkan peguam saya untuk menghantar surat tuntutan kepada Asyraf atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan. Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah.

“Budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat. Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan memfitnah sesuka hati,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Terdahulu, Maszlee yang juga bekas menteri pendidikan mendesak Asyraf menarik balik kenyataan berhubung dakwaan fakta buku teks sejarah tingkatan 4 mengandungi unsur fakta dimanipulasikan.

Katanya, jika tiada permohonan maaf atau penarikan kenyataan dibuat, beliau akan memfailkan saman fitnah.

Kementerian Pendidikan (KPM) mempertahankan ketepatan fakta buku teks itu, selepas Asyraf mendakwa ada unsur fakta dimanipulasikan.

KPM menegaskan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) sejarah tingkatan 4 mematuhi “semua proses penerbitan” bagi menjamin kualiti buku, “termasuk ketepatan fakta”.

Menurut KPM, penerbitan buku teks itu berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM sejarah tingkatan 4. Kandungan DSKP itu pula berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (2011-2012).

Asyraf sebelum ini mendesak KPM menarik balik buku teks itu, kerana mendakwa terdapat unsur fakta dimanipulasikan dengan mengagungkan komunis sebagai pejuang kemerdekaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.