
PETALING JAYA: Umno akan menarik balik sokongannya pada PPBM dan meninggalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) – ini adalah “rahsia terbuka”, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.
Namun, keputusan itu hanya akan dimuktamadkan pada perhimpunan agung parti bulan depan, yang akan membincangkan isu sebilangan besar daripada 191 bahagian Umno tidak mahu bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang (PRU15).
“Perdana Menteri Muhyiddin Yassin harus faham keputusan itu sudah pun dibuat, cuma belum rasmi,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.
Puad berkata, akar umbi parti tidak berpuas hati dengan PN, kerana sebagai kerajaan, ia melantik ketua kampung yang tidak sudi bekerjasama dengan pemimpin Umno tempatan.
Beliau berkata, beberapa ahli MKT Umno membantah keputusan memutuskan hubungan dengan PPBM, tetapi ini kerana sebahagian daripada mereka adalah anggota Kabinet.
Umno, kata beliau, “pasti akan hancur perlahan-lahan” sekiranya kekal dalam kerajaan semasa, yang menurutnya “tidak jujur secara politik dan akan menikam (Umno) di belakang”.
Mengulas mengenai rancangan Umno untuk PRU15, Puad berkata, parti itu akan terus bertanding di semua kerusi yang dimenanginya sebelum ini, termasuk di kerusi calon yang melompat ke PPBM.
“Umno cuba mengelakkan pertembungan dengan sekutunya di Sabah, tetapi mereka ini menaja calon bebas untuk mengganggu kerusi kami dan menyebabkan calon kami kalah,” katanya.
Perhimpunan agung Umno, yang awalnya dijadualkan berlangsung akhir tahun lalu, ditangguhkan ke 30 dan 31 Jan disebabkan wabak, sebelum ditangguhkan lagi. Ia kini dijadualkan berlangsung pada 27 dan 28 Mac.
Keputusan pada perhimpunan agung itu untuk menarik balik sokongan terhadap PPBM akan menyebabkan kejatuhan kerajaan PN.