Ahli Parlimen gesa Putrajaya perjelas dakwaan kanak-kanak Myanmar dihantar pulang

Ahli Parlimen gesa Putrajaya perjelas dakwaan kanak-kanak Myanmar dihantar pulang

Charles Santiago menggesa menteri dalam negeri memberi respons terhadap kumpulan hak asasi yang mempertikai dakwaan pihak berkuasa.

Kumpulan hak asasi meminta kerajaan menjelaskan sama ada kanak-kanak termasuk dalam kelompok 1,086 pendatang Myanmar yang dihantar pulang minggu ini. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago menggesa menteri dalam negeri menjawab dakwaan bahawa kanak-kanak adalah antara 1,086 pendatang Myanmar yang dihantar pulang awal minggu ini.

Bercakap kepada FMT, Santiago berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan kerana kumpulan hak asasi mempertikai dakwaan pihak berkuasa yang berkata, tiada kanak-kanak dihantar pulang ke negara itu.

Semalam, Jaringan Hak Pelarian Asia Pasifik (APRRN), Dewan Anggota Parlimen Asean untuk Hak Asasi Manusia (APHR), Forum Asia untuk Hak Asasi Manusia dan Pembangunan, Gabungan Tahanan Antarabangsa (IDC) dan kumpulan lain dalam kenyataan mendakwa kanak-kanak adalah antara mereka yang dijadualkan dihantar pulang.

Kenyataan itu berkata, terdapat “pengesahan yang membimbangkan bahawa sekurang-kurangnya dua daripada kanak-kanak itu terpisah daripada keluarga mereka dan dihantar pulang ke Myanmar secara bersendirian”.

Santiago berkata, penghantaran pulang kanak-kanak adalah perkara serius kerana ia bercanggah dengan Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-kanak, yang turut ditandatangani oleh Malaysia.

“Kita perlu memberi penjelasan kepada komuniti antarabangsa. Kita menghantar orang ke negara yang sedang bergolak dan ke tempat di mana mereka berdepan keganasan dan penganiayaan,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya kanak-kanak memang dihantar pulang, pihak berkuasa mesti menjelaskan bagaimana mereka memastikan perjalanan pulang mereka selamat.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud baru-baru ini berkata, mereka yang dihantar pulang bukan daripada etnik Rohingya atau pencari suaka.

Beliau mendakwa, mereka bersetuju untuk pulang tanpa paksaan oleh mana-mana pihak.

Pesuruhjaya kanak-kanak Suhakam, Noor Aziah Mohd Awal berkata, beliau terkejut dengan laporan kanak-kanak dihantar pulang.

“Kanak-kanak tidak boleh dipisahkan daripada ibu bapa mereka,” katanya, selain menambah bahawa Malaysia melanggar prinsip hak asasi manusia dan mengina mahkamah dengan menghantar pulang pendatang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.