‘Saya tak intai mana-mana kerusi pun’, Hans Isaac nafi mahu tanding di Ampang

‘Saya tak intai mana-mana kerusi pun’, Hans Isaac nafi mahu tanding di Ampang

Hans berkata penyertaannya dalam PKR selepas "Langkah Sheraton" pada Februari lalu kerana merasakan parti itu paling sesuai dengannya dari segi hala tuju dan ideologi.

PETALING JAYA:
Pelakon Hans Isaac menafikan dakwaan beliau sedang mengintai peluang untuk bertanding di kerusi Parlimen Ampang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang

Hans memberitahu FMT, dia menyertai PKR selepas “Langkah Sheraton” pada Februari lalu kerana merasakan parti itu paling sesuai dengannya dari segi hala tuju dan ideologi.

“Saya bercakap dengan presiden parti Anwar Ibrahim. Saya merasakan hala tuju dan polisi parti itu betul dan tidak meninggalkan sesiapa pun,” katanya.

Berlegar spekulasi di media sosial, Hans akan bertanding menentang penyandang Parlimen Ampang yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Bagaimanapun, Hans berkata bukan dia yang akan memutuskan jika bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Saya tidak mengintai mana-mana kerusi pun,” katanya memaklumkan beliau kini bekerjasama dengan sebuah NGO, Kita Budak Ampang, untuk membantu belia dan warga emas.

Hans berkata, apa dilakukannya itu memberi dia peluang untuk membantu penduduk Ampang “tanpa mengira kaum dan latar belakang” dan untuk membantu masyarakat di Subang serta beberapa kawasan lain.

Bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) itu berkata, Kita Budak Ampang juga bekerjasama dengan ahli PKR dan cawangan untuk membantu rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.