6 termasuk 2 remaja mengaku tak salah rogol, amang seksual remaja 13 tahun

6 termasuk 2 remaja mengaku tak salah rogol, amang seksual remaja 13 tahun

Mahkamah membenarkan dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin, manakala empat lagi diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin.

Hakim Rohaida Ishak turut mengenakan syarat tambahan ke atas semua tertuduh supaya tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai. (Gambar Reuters)
KUALA KANGSAR:
Enam lelaki, termasuk dua remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun bulan lepas.

Muhammad Zul Haikal Rashidi, 19, Muhammad Safaran Nurhan Suhaimi, 19, Muhammad Fakrul Nakimi Hussein, 29, Muhammad Saifullah Md Senapi, 21, Razaimi Md Nor, 49, dan Noordin Mat Ramli, 59, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di depan Hakim Rohaida Ishak.

Zul Haikal didakwa atas dua pertuduhan merogol remaja perempuan itu di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Simpang Perak Air Panas, Pengkalan Hulu antara 11.10 malam hingga 11.25 malam dan 4.45 petang pada 6 dan 7 Feb lalu.

Safaran Nurhan, Fakhrul Nakimi dan Saifullah dituduh merogol mangsa di tempat sama antara 12.30 pagi hingga 5 petang pada 7 Feb.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Noordin didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap mangsa sama di tempat sama pada 11.10 malam 6 Feb.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Razaimi pula didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap mangsa sama di alamat sama antara 9 malam hingga 5 petang pada 6 serta 7 Feb.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan serta Seksyen 15(a)(i) akta sama.

Mahkamah membenarkan Zul Haikal dan Razaimi masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin, manakala empat tertuduh lain dibenarkan diikat jamin RM7,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan semua tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan 19 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman, manakala semua tertuduh diwakili peguam Ranjit Singh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.