Kalimah Allah: Tindakan susulan diputus selepas terima hujah mahkamah, kata KDN

Kalimah Allah: Tindakan susulan diputus selepas terima hujah mahkamah, kata KDN

Semua pihak diseru tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan mahkamah.

PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membuat keputusan mengenai tindakan susulan berhubung isu kalimah “Allah” selepas menerima hujah penghakiman bertulis daripada mahkamah.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam tidak sah dan tidak mengikut Perlembagaan dalam membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Jill Ireland Lawrance Bill, seorang penganut Kristian dari Sarawak, untuk menggunakan kalimah itu dalam pendidikan agamanya.

Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin,  berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan mahkamah berkaitan isu kalimah Allah dan hal lain yang dibawa oleh Ireland.

“KDN akan memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan selepas menerima hujah penghakiman secara bertulis dari pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hamzah Zainudin.

“Saya menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan tersebut dan meminta semua pihak untuk menghormati proses perundangan dan kehakiman negara,” katanya.

Selain kalimah Allah, keputusan mahkamah itu turut menyentuh larangan ke atas penggunaan “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah”.

Hakim Noor Bee Ariffin berkata arahan KDN sebelum ini melarang penganut bukan Islam menggunakan empat perkataan itu, adalah tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.