Seleweng RM1.6 juta, bekas eksekutif Telekom Malaysia dipenjara setahun

Seleweng RM1.6 juta, bekas eksekutif Telekom Malaysia dipenjara setahun

Shamsul Bahri Musa mula jalani hukuman hari ini selepas proses rayuan berakhir.

Court of Appeal Mahkamah rayuan
Mahkamah Rayuan hari ini jatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Shamsul Bahri Musa yang didapati bersalah seleweng dana syarikat antara 2007 dan 2010.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang bekas eksekutif Telekom Malaysia selepas mendapatinya bersalah menyeleweng harta syarikat bernilai RM1.6 juta.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Azman Abdullah memutuskan wujud keterangan yang menunjukkan Shamsul Bahri Musa, 56, melakukan kesalahan-kesalahan terbabit.

Azman yang bersidang bersama-sama Hakim Azmi Ariffin dan Radzi Abdul Hamid sebelum itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Shamsul daripada empat tuduhan pecah amanah jenayah (CBT).

“Pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya elemen amanah, yang menjadi unsur penting bagi tuduhan CBT.

“Bagaimanapun, semua unsur bagi kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang telah dibuktikan,” katanya.

Shamsul dijatuhi hukuman penjara enam bulan bagi tuduhan pertama, lapan bulan bagi tuduhan kedua, setahun bagi tuduhan ketiga, dan sembilan bulan bagi tuduhan keempat.

Kesemua hukuman penjara diarah berjalan serentak bermula hari ini dan mahkamah turut mengeluarkan waran komital.

Tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Shamsul daripada tuduhan CBT selepas memutuskan tuduhan yang dikemukakan adalah cacat serta mendapati hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf, justeru mendorong rayuan pihak pendakwaan.

Shamsul didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Menara Mutiara Bangsar antara Januari 2007 dengan September 2010.

Dia diwakili peguam Hasnal Rezua Merican, manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.