3 pegawai Telekom Malaysia di AS didakwa seleweng USD20 juta

3 pegawai Telekom Malaysia di AS didakwa seleweng USD20 juta

Tiga tertuduh didakwa menyalurkan berjuta-juta dolar daripada TM ke akaun bank yang dikawal mereka.

telekom malaysia
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berkata pihaknya tidak akan mendakwa Telekom Malaysia selepas syarikat itu sendiri melaporkan salah laku jenayah berkenaan dan berikrar memberi kerjasama kepada pihak berkuasa. (Gambar Telekom Malaysia)
KUALA LUMPUR:
Amerika Syarikat mendakwa tiga pegawai kanan Telekom Malaysia (TM) atas tuduhan menyeleweng lebih USD20 juta daripada syarikat telekomunikasi milik kerajaan Malaysia itu, menurut Jabatan Kehakiman AS (DOJ) pada Selasa.

Hafiz Lockman, Yuzaimi Yusof dan Khanh Thuong Nguyen, eksekutif kanan di anak syarikat TM di AS, dituduh menggunakan kenyataan palsu dan dokumen yang dipalsukan untuk menyalurkan dana syarikat secara haram serta memperdaya rakan niaga, pembekal, juruaudit dan penyelia di antara Julai 2020 hingga Februari 2026, menurut pihak berkuasa.

“Tiga individu ini didakwa melaksanakan skim pecah amanah yang dirancang secara sengaja dan teliti, termasuk memalsukan rekod korporat demi keuntungan kewangan peribadi,” kata Penolong Pengarah FBI yang bertanggungjawab, James C Barnacle Jr dalam kenyataan.

Hafiz ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, manakala dua lagi tertuduh menyerah diri kepada pihak berkuasa bulan lalu. Menurut DOJ, ketiga-tiga mereka didakwa atas pertuduhan konspirasi penipuan pindahan wang, penipuan pindahan wang dan kecurian identiti teruk.

Hafiz, Yuzaimi dan Nguyen tidak dapat dihubungi segera untuk mendapatkan maklum balas. TM juga tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.

DOJ berkata pihaknya memutuskan untuk tidak mendakwa TM selepas syarikat itu sendiri melaporkan salah laku jenayah berkenaan dan berikrar untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa.

Reuters melaporkan pada Mac bahawa jabatan itu memperkenalkan dasar untuk menggalakkan syarikat melaporkan salah laku jenayah sebagai pertukaran kepada pengurangan penalti dan manfaat lain.

Menurut kertas pertuduhan di AS, tertuduh didakwa menyalurkan berjuta-juta dolar daripada TM ke akaun bank yang dikawal mereka.

Dalam satu kejadian, TM diminta meluluskan penjualan kapasiti lapan terabait kepada sebuah syarikat multinasional AS bernilai US$54 juta, sedangkan hanya enam terabait sebenarnya dibeli.

Tertuduh didakwa menjual lebihan kapasiti itu kepada syarikat lain dan menyalurkan hasil jualan melalui sebuah entiti cengkerang, menurut DOJ.

Mereka juga dituduh menaikkan kos pembelian kabel secara palsu dan mengalihkan hampir US$2.9 juta bayaran ke akaun bank yang dikawal mereka, selain membuat tuntutan bayaran balik bagi perbelanjaan kerja yang direka.

Ketiga-tiga mereka juga didakwa menyamar sebagai pekerja dan pelatih untuk menerima gaji. Dalam satu kejadian, mereka didakwa menggunakan alat penyamaran berbantukan AI bagi memperdaya kakitangan sumber manusia, kata DOJ.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.