Polis ditahan kes peras ugut RM5,000

Polis ditahan kes peras ugut RM5,000

Polis berkata mangsa membuat laporan terhadap anggota yang menggari tangan rakannya dan mengugut meminta wang daripadanya.

Sazalee Adam
Ketua Polis Dang Wangi Sazalee Adam berkata suspek kini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pegawai polis berpangkat asisten superintendan (ASP) ditahan kerana disyaki terbabit kes pemerasan wang RM5,000 daripada seorang lelaki di Bukit Bintang, Khamis lalu.

Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa dimaklumkan rakan sekerjanya ditahan polis kerana disyaki terbabit aktiviti penipuan pusat panggilan, dengan majikannya yang juga warga China didakwa menjadi buruan dan mempunyai rekod dikehendaki di Kemboja serta China.

Jelasnya, mangsa kemudian berjumpa rakannya yang dalam keadaan tangan bergari hampir sejam sebelum dibebas.

“Mangsa menyatakan dia dipaksa menyerahkan wang RM5,000 kepada pihak polis di restoran terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan terhadap anggota yang menggari tangan rakannya dan mengugut meminta wang daripadanya.

Katanya, polis kemudian menahan pegawai terbabit dan merampas telefon bimbitnya.

Jelasnya, suspek kini direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berhubung dengan seorang lelaki dan ditawarkan RM300,000 jika dapat menahan majikan mangsa kerana dikehendaki atas kesalahan penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.