Zaid dakwa pemimpin ‘sombong’ kerana tak rujuk rakyat sebelum perkenal kompaun RM10,000

Zaid dakwa pemimpin ‘sombong’ kerana tak rujuk rakyat sebelum perkenal kompaun RM10,000

Di tengah-tengah kritikan pelbagai pihak, kerajaan mengumumkan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun akan diperincikan.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata kerajaan tidak sanggup mengubah ordinan tersebut walaupun tahu denda RM10,000 itu tidak wajar.
PETALING JAYA:
Zaid Ibrahim mendakwa pemimpin kerajaan “lagak sombong” kerana tidak mendapatkan maklum balas orang ramai sebelum menguatkuasakan kompaun RM10,000 untuk pelanggaran semua jenis SOP perintah kawalan pergerakan.

Di tengah-tengah kritikan pelbagai pihak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan kelmarin mengumumkan kerajaan akan perinci kesalahan yang boleh dikenakan kompaun RM10,000.

Katanya, “bagi menangani kekeliruan dalam kalangan masyarakat” menurut laporan Bernama.

“Mengapa tidak sediakan dahulu butiran kesalahan sebelum ordinan dikuatkuasakan?” soal Zaid, yang juga bekas menteri undang-undang.

“Ini semua sebab sifat sombong. Buat dulu fikir kemudian.”

Zaid berkata, kerajaan tidak sanggup mengubah ordinan tersebut walaupun tahu denda RM10,000 itu tidak wajar.

Takiyuddin sebelum ini berkata kerajaan akan mengekalkan kompaun RM10,000 itu, dengan jaminan untuk selesaikan pelaksanaannya.

“Kalau mereka kurang sombong apa salahnya tarik balik ordinan tersebut dan buat peraturan baru yang lebih munasabah,” kata Zaid.

Katanya lagi, “lagak sombong” pemimpin kerajaan sudah menjadi perkara biasa, kerana tidak ada banyak ruang untuk mempersoalkan dan mengehadkan kuasa mereka apabila Parlimen tidak bersidang semasa darurat.

“Maklumlah pemimpin politik di negara ini luas bidang kuasa mereka,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.