Syarikat patut bertanggungjawab atas kemalangan, kata peguam

Syarikat patut bertanggungjawab atas kemalangan, kata peguam

Penguatkuasaan tegas dan hukuman penjara dilihat mampu memastikan nahas di tapak pembinaan lebuh raya berkurangan.

Dua orang terbunuh apabila van mereka dihempap perancah yang jatuh di tapak pembinaan SUKE berhampiran Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 pada 5 Mac. Tiga pekerja asing turut terbunuh dalam kejadian berasingan, Isnin lalu.
PETALING JAYA:
Beberapa peguam berkata undang-undang membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengurusan dan pengarah syarikat pembinaan untuk mengurangkan nahas tapak pembinaan, susulan kemalangan terbaru melibatkan pembinaan satu lebuh raya.

Rajesh Nagarajan berkata, penguatkuasaan tegas dan hukuman penjara terhadap pengurusan tertinggi syarikat akan “secara semulajadi mengurangkan kadar kemalangan.”

Katanya, ada pihak pengurusan tertinggi syarikat mengambil “jalan pintas” sehingga menjejaskan tahap keselamatan dan kesihatan.

“Undang-undang di negara ini mesti dipinda untuk membolehkan hukuman penjara dilaksanakan bagi kes serius melibatkan kecuaian yang mengakibatkan kemalangan maut,” katanya kepada FMT.

Rajesh berkata demikian mengulas “tweet” oleh peguam hak asasi manusia Eric Paulsen yang menyoal sama ada nahas dapat dikurangkan sekiranya kejadian seperti itu dianggap sebagai kes kecuaian jenayah serius yang boleh membawa hukuman penjara.

Paulsen terdahulu mengulas kematian tiga pekerja selepas kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Kuala Lumpur, Isnin lalu. Seorang pemandu juga parah selepas keretanya dihempap kren berkenaan.

Lawyer Andrew Khoo berkata, pihak berkuasa patut menyiasat sama ada berlaku kegagalan mematuhi garis panduan serta protokol keselamatan dalaman syarikat berkenaan.

Menurutnya, pihak berkuasa juga mesti menyiasat sama ada syarat ditetapkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan telah dipatuhi.

Katanya, mengikut Seksyen 52 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, lembaga pengarah dan pengurusan boleh didakwa kerana gagal mematuhi syarat berkenaan.

Seksyen 57 membenarkan pihak berkuasa mendakwa mereka kerana bersubahat dengan syarikat, dan jika didapati bersalah boleh didenda dan/atau dipenjara.

Bagi kes melibatkan perbuatan melulu atau kecuaian melampau, Seksyen 58 menyatakan mereka juga boleh disaman secara peribadi.

“Secara asasnya, pengarah dan pengurus boleh dipertanggungjawabkan,” kata Khoo.

R Kengadharan menyambut baik tindakan memenjarakan pengarah syarikat kerana ini akan meningkatkan pematuhan terhadap garis panduan keselamatan.

Katanya, mendenda badan korporat tidak akan memberi pengajaran kerana jumlahnya “terlalu kecil dan mampu ditanggung.”

Bagaimanapun, Kengadharan berkata penting juga untuk mengetahui sama ada agensi relevan yang ditugaskan untuk memantau mereka turut melaksanakan tanggungjawab mereka.

Katanya, agensi kerajaan berkaitan boleh juga dipertanggungjawabkan secara bersama.

Katanya, dalam kebanyakan kes, kemalangan berlaku apabila pemaju atau firma yang bertanggungjawab terhadap projek mengejar tarikh akhir untuk mengelak membayar perlu membayar kerana penyerahan lewat.

“Ketika itulah langkah keselamatan diabaikan secara serius, seterusnya mungkin mengakibatkan kematian.”

Peguam Salim Bashir berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia mesti menyiasat sama ada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dipatuhi.

Katanya, sebarang kecuaian boleh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu kematian akibat kecuaian.

“Bagaimanapun, hukuman penjara saja mungkin tidak cukup untuk meningkatkan keselamatan di tempat kerja.

“Pihak pengurusan perlu lebih bertanggungjawab. Mereka perlu belajar mengenai langkah ketat dan mematuhi peraturan dalam memastikan keselamatan awam serta pekerja sepanjang proses pembinaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.