PN ‘terumbang ambing’ korban kepentingan negara, kata Anwar

PN ‘terumbang ambing’ korban kepentingan negara, kata Anwar

Presiden PKR itu berkata, kerajaan tersalah langkah dalam banyak hal penting dan akan terus parah tanpa pengimbang daripada institusi Parlimen.

Dalam sidang media bersama sempena lawatan dua hari ke China baru-baru ini, Menteri Luar Hishammuddin Hussein dilaporkan berkata kepada Wang Yi bahawa rakan sejawatannya itu akan sentiasa menjadi ‘abang besar’ bagi beliau, manakala Wang membalasnya dengan berkata: ‘Kita adik-beradik’. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Keadaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang kini “terumbang ambing” tanpa sokongan kukuh di Parlimen dan dipertikaikan keabsahannya boleh menyebabkan kepentingan keselamatan dan kedaulatan negara terkorban, kata Anwar Ibrahim.

Merujuk insiden Menteri Luar, Hishammuddin Hussein memberi komen “abang besar” dalam lawatannya ke China Jumaat lalu, ketua pembangkang itu berkata, beliau bimbang kerajaan pada masa ini hanya membuat keputusan untuk terus menjamin kelangsungan kuasa.

Presiden PKR itu mendakwa kerajaan “tersalah langkah” dalam banyak hal penting negara dan akan terus parah tanpa pengimbangan daripada institusi Parlimen.

“Pemerintah hari ini secara tidak langsung telah memberi mesej yang jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.

“Percubaan menteri luar menutup kekeliruan timbul menampakkan Kabinet PN mempunyai pemahaman lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan China,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Anwar berkata, kelemahan pemerintah yang tiada keabsahan demokratik itu juga menyebabkan kemungkinan negara sekutu, seteru, diplomat atau pemuka korporat mengambil kesempatan mendapatkan keuntungan dalam keterbabitannya dengan Malaysia.

“Hal ini mampu memberi kesan mendalam pada kedudukan diplomatik Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

“Sistem demokratik di Malaysia mengguna pakai sistem Westminster. Justeru, perdana menteri yang hilang majoriti harus segera berundur dan serahkan sepenuhnya pada proses perlembagaan.

“Sebaliknya, perdana menteri hari ini menyalahguna pengisytiharan darurat dan dalam masa sama terus merencana untuk berpaut pada kuasa,’” katanya.

Dalam sidang media bersama sempena lawatan dua hari ke China baru-baru ini, Hishammuddin dilaporkan berkata kepada Wang bahawa rakan sejawatannya itu akan sentiasa menjadi “abang besar” bagi beliau, manakala Wang membalasnya dengan berkata: “Kita adik-beradik”.

Hishammuddin kemudiannya menjelaskan bahawa ungkapan itu adalah sebagai tanda hormat dan tidak merujuk kepada hubungan dua hala Malaysia-China.

Beliau berkata, ini kerana hubungan yang terjalin sejak sekian lama itu adalah berdasarkan kepercayaan dan kesaksamaan bersama.

“Menghomati Wang Yi yang lebih tua dan menteri luar lebih senior (kanan), oleh itu ‘abang’ saya secara peribadi.

“Menghormati tidak menandakan kelemahan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.