
“Bukan itu maksud (Muhyiddin) kerana Labuan berada di tingkat yang lebih rendah berbanding negeri-negeri lain,” kata Kitingan, yang juga presiden STAR di luar sebuah acara di sini malam tadi.
Kitingan berkata demikian dalam usaha menjelaskan kekeliruan mengenai gambaran Muhyiddin tentang Sabah dan Sarawak sebagai “wilayah”.
Kata beliau, apa yang mungkin dimaksudkan perdana menteri adalah Sabah dan Sarawak adalah dua “wilayah” terpisah yang setara dengan Tanah Melayu, menjadikan tiga “wilayah” di Malaysia.
Beliau berkata, susulan kenyataan Muhyiddin semasa lawatan ke Sarawak baru-baru ini, timbul beberapa tafsiran mengenai apa yang dimaksudkan oleh perdana menteri itu ketika dia menggambarkan kedua-dua negeri itu sebagai “wilayah”.
“Sabah dan Sarawak berada di tingkat lebih tinggi berbanding negeri-negeri di Semenanjung. Jadi apa yang dimaksudkan beliau dengan ‘wilayah’ adalah dalam konteks pembentukan Malaysia,” kata Kitingan, sambil menambah, kedua-dua negeri tersebut memiliki status yang setara dengan Semenanjung.
Beliau menekankan keperluan istilah yang “lebih tepat dan jelas” untuk menggambarkan Sabah dan Sarawak “bagi mengelakkan kekeliruan di masa hadapan”.
Berkenaan kenyataan sebuah jabatan kerajaan di Labuan bahawa Sabah dan Sarawak sepatutnya dirujuk sebagai “wilayah”, bukan negeri, yang tular sejak semalam, Kitingan berkata, beliau tidak tahu bagaimana hal ini boleh timbul.
“Jika ia tidak datang daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau jabatan yang memiliki lokus standi, jangan percaya,” kata beliau.
Ini menimbulkan kekecohan di media sosial, termasuk melalui aplikasi WhatsApp, dengan ada yang mempersoalkan mengapa kenyataan seperti itu datang daripada jabatan berstatus rendah, bukan JPM sendiri.
Jabatan tersebut telah menurunkan catatan itu daripada akaun media sosialnya.