Lima sekeluarga berdepan tali gantung, disyaki proses dadah hampir 6kg

Lima sekeluarga berdepan tali gantung, disyaki proses dadah hampir 6kg

Semua suspek diberkas dalam dua serbuan berasingan di Bera, Pahang dan Ipoh, Perak, menurut Timbalan Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri.

Sindiket dipercayai mulai aktif sejak dua bulan lalu dan polis tidak menolak kemungkinan mereka tahu cara memproses dadah. (Gambar AFP)
KUANTAN:
Lima sekeluarga termasuk seorang wanita, mungkin berdepan hukuman mati mandatori susulan disyaki memproses dadah jenis syabu dan heroin bagi pasaran di beberapa daerah di Pahang.

Timbalan Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri berkata, semua suspek diberkas dalam dua serbuan berasingan di Bera, kira-kira 260km dari sini, dan di Ipoh, Perak pada 6 April.

Dadah yang dirampas dianggarkan seberat 5.9kg dan bernilai RM91,717.

“Dua suspek lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 48 tahun ditahan dalam kereta di hadapan sebuah restoran segera di Triang, Bera pada 9 pagi, disyaki sedang menunggu pembeli dadah.

“Pemeriksaan pada kenderaan menemukan syabu anggaran lebih 1kg dan heroin 4.5kg. Polis percaya suspek berada di Bera untuk mengedar dadah tersebut di sekitar Bera, Maran dan Temerloh,” kata beliau.

Penahanan itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Ipoh, Perak pada hari sama, membawa kepada tangkapan dua lagi suspek lelaki berusia 26 dan 42 tahun yang dipercayai menyewa rumah itu untuk dijadikan makmal memproses dadah.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah heroin seberat 353g dan serbuk kafein dianggarkan seberat 2kg.

“Sindiket ini dipercayai mulai aktif sejak dua bulan lalu dan polis tidak menolak kemungkinan mereka tahu cara memproses dadah memandangkan empat daripada suspek positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah,” kata beliau.

Yusri berkata dadah yang dirampas boleh dijual kepada 17,318 penagih.

Semua suspek itu, yang berasal dari Negeri Sembilan dan Perak, kini direman hingga esok. Mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.