
Pendakwa ad hoc, V Sithambaram, berkata peruntukan dalam memorandum dan artikel SRC mengatakan tiada siapa yang boleh dilantik sebagai pengarah tanpa restu perdana menteri ketika itu.
“Pelantikan dan pemecatan dilakukan oleh perdana menteri dan bukan ahli lembaga pengarah,” kata Sithambaram dalam penghujahan untuk memperinci kes pendakwaan di hadapan tiga panel hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil.
Malah, Pengerusi SRC, Ismee Ismail dan pengarah Suboh Md Yassin telah memberi keterangan ketika perbicaraan mengenai kuasa yang dimiliki Najib.
“Kes kami membabitkan kuasanya (Najib) terdapat dalam perlembagaan SRC walaupun pasukan perundangan Najib telah mengambil keputusan anak guamnya tidak mempunyai kuasa terhadap syarikat itu,” katanya.
Beliau berkata, Najib adalah kuasa kawalan syarikat dalam kapasitinya sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan penasihat emeritus SRC.
“Lembaga pengarah bertindak atas arahan Najib melalui Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil yang merupakan ‘pelindung’ di belakang tertuduh,” katanya.
Sithambaram berkata, Najib sudah terlibat dalam SRC seawal 2011 ketika syarikat itu diperbadankan sebagai syarikat sendirian berhad.
Katanya, perlembagaan syarikat menyatakan bahawa Najib mesti dirujuk sekiranya keputusan penting tertentu dibuat.
Pada mulanya, syarikat ini menjadi anak syarikat 1MDB dan kemudian diletakkan bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan.
Sithambaram berkata, tertuduh mendorong semua pihak untuk mendapatkan pinjaman RM4 bilion daripada dana persaraan kerajaan pada 2011 dan 2012.
Pinjaman itu bertujuan melaksanakan dan melabur dalam projek yang berkaitan dengan sumber tenaga konvensional dan boleh diperbaharui, sumber semula jadi dan mineral.
“Namun, sepanjang enam atau tujuh tahun selepas itu tiada apa yang berlaku. Sebenarnya, Najib tidak pernah menerima atau meminta laporan mesyuarat atau mesyuarat agung tahunan lembaga pengarah,” katanya.
Sithambaran berkata, dua jaminan kerajaan untuk pinjaman tersebut juga tidak dibentangkan di Parlimen.
Katanya, Najib mempunyai kepentingan dalam SRC ketika dia mempengerusikan mesyuarat Kabinet untuk menyetujui dua jaminan tersebut kerana kedudukan yang dipegangnya di syarikat itu.
“Sebenarnya dia adalah ‘pengarah bayangan’ selain jawatan lain yang dipegangnya berkaitan dengan syarikat itu,” katanya.
Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, dituduh menyalahgunakan kuasanya sebagai perdana menteri dengan memberikan jaminan kerajaan atas pinjaman RM4 bilion SRC International daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan).
Dia juga didakwa terhadap tiga tuduhan pecah amanah dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.
Julai lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan memerintahkan Najib membayar denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah berkaitan dengan RM42 juta milik SRC International.
Perbicaraan diteruskan.