Bersatu yakin rakyat pilih Muhyiddin sebagai PM pada PRU15

Bersatu yakin rakyat pilih Muhyiddin sebagai PM pada PRU15

Ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan berkata jika dibandingkan Muhyiddin Yassin dengan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, rekod presiden Bersatu jelas untuk bela nasib rakyat.

PETALING JAYA:
Bersatu yakin presidennya, Muhyiddin Yassin, akan menjadi pilihan rakyat sebagai perdana menteri pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan rekod beliau sepanjang 15 bulan mentadbir negara.

Ketua Penerangan Wan Saiful Wan Jan berkata rakyat mempunyai tiga pilihan calon perdana menteri iaitu Muhyiddin, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya yakin rakyat akan kata ‘kita nak Tan Sri Muhyiddin kekal’, sebab rekod beliau, jelas, perjuangannya untuk membela nasib rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif FMT.

Baru-baru ini Pakatan Harapan sebulat suara menamakan Anwar akan mengetuai jentera gabungan itu memasuki PRU15 dan calon perdana menterinya.

Setakat hari ini, Barisan Nasional yang diterajui Umno belum menamakan calon perdana menterinya, malah ada desakan dalam parti itu untuk presidennya berundur kerana menghadapi tuduhan di mahkamah.

Ditanya dakwaan politik wang oleh segelintir pihak, Wan Saiful menegaskan di peringkat parti dan kerajaan, tidak pernah wujud tawar-menawar jawatan dan wang, malah beliau sifatkan ‘tuduhan liar’ itu hanya untuk meraih populariti politik.

“Sampai hari ini, sebenarnya, yang bagi tuduhan ini tidak pernah berjaya bawa apa-apa bukti. Yang jelasnya, yang menuduh itu kawan-kawannya makin lama makin senyap. Ada yang dah buat keputusan pergi ke parti lain,” katanya.

“Jadi, (ini) main tuduh liar sahaja, main tuduh secara rambang sahaja untuk dapat populariti politik – bolehlah jadi ‘glamer’ sekejap – tapi dia kena bertanggungjawab kepada tuduhan itu bukan sahaja sekarang, pada masa akan datang juga.”

Mengenai kenyataan Pengarah Pilihan Raya Umno, Tajuddin Abdul Rahman, bahawa partinya mahu bertanding 120 kerusi pada PRU15, Wan Saiful berkata Perikatan Nasional yang dianggotai Bersatu, PAS, STAR, SAPP, dan Gerakan sudah menjawab hajat Umno itu dengan ia akan bertanding di 222 kerusi.

“Kita sekarang, dengan diketuai oleh Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu, kita membincangkan mengenai agihan kerusi dalam kalangan kelompok kawan-kawan kita dalam PN. Rundingan itu sedang berjalan dan ia berjalan dengan baik, sebab kita ada persefahaman yang baik antara parti komponen.

“Yang mana yang Umno nak bertanding, apa dan macam mana, itu terserah pada Umnolah. Dia pun banyak isu lain yang nak diselesaikan. Jadi, kita dengar dan faham tuntutan itu. Itu Umno, bukan PN,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.