Kata beliau, parti itu akan berjuang untuk menolak mana-mana pemimpin yang menyimpang daripada rangka kerja parti yang berasaskan kepelbagaian kaum dan agama supaya DAP dapat dikekalkan sebagai parti bersifat Malaysia.
“DAP bukan parti Cina, parti India atau parti Melayu. Kami adalah parti Malaysia untuk semua, dengan wakil rakyat daripada semua kumpulan etnik, termasuk Sabah dan Sarawak.
“Tidak seperti Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang secara terang-terangan mengisytiharkan bahawa dia orang ‘Melayu dahulu, rakyat Malaysia kemudian’, DAP tidak akan berputus asa dengan impian kami mengenai pembangunan negara, yang dibina atas dasar persaudaraan kaum, keharmonian agama, peluang setara dan keadilan sosio-ekonomi, antara lain,” kata beliau pada perasmian Konvensyen DAP Melaka hari ini.
Ahli Parlimen Bagan itu merujuk kepada kontroversi baru-baru ini membabitkan pemimpin DAP Selangor, ADUN Pandamaran Ronnie Liu, yang menyatakan bahawa DAP tidak perlu “mencairkan kecinaannya” hanya kerana kritikan daripada musuh politik, satu kenyataan yang disifatkan ramai pemimpin sebagai mencerminkan mentaliti yang sempit dan toksik.
Lim, yang juga bekas menteri kewangan, berkata perjuangan DAP selama ini sentiasa tertumpu kepada rakyat, berdasarkan prinsip dan dasar asas yang bermanfaat bagi negara. Parti itu tidak pernah taksub mendapatkan kuasa atau jawatan kerajaan.
“Itu lah sebabnya tiada satu pun wakil rakyat DAP melompat parti dan mengkhianati mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum 2018.
“Walaupun DAP parti terbesar dalam Parlimen, kami tidak pernah tamak dan cuba mendapatkan jawatan yang tinggi seperti perdana menteri dan timbalan perdana menteri,” kata beliau.
Kata Lim, sekiranya DAP mengambil pendekatan berasaskan perkauman dan menyifatkan diri sebagai parti Cina atau India, ini tidak akan berbeza daripada PAS, yang digelarnya sebagai ekstrem.
Ini bertentangan dengan pendirian Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti, tambah beliau.
Beliau memetik contoh PAS secara terang-terangan menyatakan hasratnya untuk mendapatkan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), supaya gerimander kawasan dapat dilaksanakan bagi menguntungkan umat Islam dan orang Melayu.
“Ini secara efektif adalah amalan apartheid agama dan kaum bagi tujuan pilihan raya, yang jelas bercanggah dengan Perlembagaan. Namun, tiada menteri bukan Islam atau bukan Melayu berani menyuarakan bantahan dalam Jemaah Menteri,” kata beliau.