Bergenang air mata lihat murid tertekan kerana UPSR, kata menteri

Bergenang air mata lihat murid tertekan kerana UPSR, kata menteri

Radzi Jidin berkongsi perbualan dengan kanak-kanak sebagai antara input diterima, yang akhirnya membawa kepada keputusan memansuhkan peperiksaan berkenaan.

Kerajaan semalam mengumumkan pemansuhan UPSR bagi murid Tahun Enam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan, Radzi Jidin bergenang air mata selepas melihat tekanan dialami seorang murid 12 tahun kerana bimbang tidak mampu mendapat 6A dalam UPSR.

Ketika menegaskan keputusan pemansuhan UPSR sebagai perkara terbaik untuk kanak-kanak pada masa akan datang, Radzi berkata, beliau tersentak selepas kanak-kanak itu mengaku takut tidak mampu mendapat keputusan cemerlang disebabkan “tidak pandai”.

Katanya, beliau sebelum itu bertanya perasaan murid terbabit mengenai UPSR dan terkejut apabila jawapannya “Habislah saya kalau tak dapat 6A” disebabkan keluarganya rata-rata cemerlang dalam peperiksaan berkenaan.

“Tersentak saya. Bergenang air mata. Dalam hati kecil berkata, sesungguhnya anak ini tertekan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau seterusnya menasihati murid itu bersabar, namun kanak-kanak itu menjawab “Tapi saya takut pak cik!”

Radzi berkata, perbualan itu antara beberapa input diterima yang akhirnya membawa kepada keputusan untuk memansuhkan peperiksaan berkenaan.

Katanya, keputusan itu dibuat susulan penelitian terperinci, termasuk mengambil kira pandangan pihak berkepentingan melalui sesi libat urus menyeluruh bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ribuan guru Tahun Enam.

“Apabila UPSR tahun lalu dibatalkan, kami mula mengkaji dan meneliti secara holistik pelaksanaannya, termasuk mengambil kira sistem pentaksiran sekolah rendah di pelbagai negara.

“Kami juga mengadakan perbincangan untuk mencari pendekatan terbaik dalam menilai pembangunan murid secara menyeluruh supaya diberikan ruang untuk mengoptimumkan potensi mereka,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan UPSR dimansuhkan, manakala PT3 untuk pelajar Tingkatan Tiga dibatalkan tahun ini.

Katanya, kementeriannya akan memperkenalkan kaedah alternatif untuk menilai pelajar yang sepatutnya mengambil dua peperiksaan utama itu.

Menurutnya, tiada peperiksaan ganti akan diadakan, sebaliknya kaedah penilaian sedia ada akan diperkukuhkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.