
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di beberapa kawasan di Raub.
Katanya, mukim Gali dan Tras di Raub pula dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam tempoh sama.
“Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes aktif dalam tempoh sembilan hari ini apabila telah merekodkan 83 kes positif Covid-19.
“Selain itu, KKM turut mengesahkan Kluster Raub Jaya ini telah merebak disebabkan aktiviti sosial dan turut dikesan di sekolah serta dalam kalangan pelajar,” katanya dalam kenyataannya.
Ismail berkata PKP di Mukim Gali melibatkan Bandar Raub, Sungai Ruan dan Kampung Baru Sempalit.
Katanya, PKP di Mukim Tras pula melibatkan Kampung Sang Lee, Kampung Baru Tras dan Kampung Sungai Cheetang.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata dua lokaliti lagi dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) iaitu di Taman Seri Desa, Kuala Krau, Temerloh, Pahang dan SMK Melugu, Sri Aman, Sarawak.
Katanya, kedua-dua lokaliti itu akan dikenakan PKPD bermula esok hingga 13 Mei ini susulan penularan kes di lokaliti tersebut dan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.
Ismail juga mengumumkan pelanjutan PKPD di SMU (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat, Kelantan dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan sehingga 13 dan 14 Mei.
Beliau juga mengumumkan penamatan di beberapa lokaliti yang dikenakan PKPD sebelum ini di Sabah, Sarawak dan Melaka.
PKPD tersebut adalah Taman Tawau Lama dan Kampung Batu Payung, Kampung Baru Pasir Putih Tawau, Sabah; Sungai Passin, Matu, Mukah, Sarawak; Kampung Simpang 3A, Merotai Besar, Tawau, Sabah; Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching & Kuarters Kakitangan, Sarawak; dan Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata semalam, 314 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP.
Katanya, daripada jumlah itu, 297 individu dikompaun dan 17 direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (191), tidak memakai pelitup muka (59), tiada penjarakan fizikal (22), masuk/keluar dari kawasan PKPD (tiga) dan lain-lain (39),” katanya.