
Beliau tertanya-tanya apa lagi yang rakyat mampu buat, susulan amaran Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe kepada orang ramai yang mengulas kes bekas tahanan, A Ganapathy.
“Terlalu kerap orang India mati dalam tahanan polis. Dan ada terlalu banyak penghalang berhubung kematian Ganapathy.
“Kami tidak tahu kenapa dia ditahan pada mulanya. Jika ada, kes ini mempunyai unsur penyalahgunaan kuasa polis. Kami perlu tahu kebenarannya.
“Polis perlu tahu mereka tidak akan terlepas daripada tindakan menyerang tahanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ganapathy meninggal dunia di Hospital Selayang pada 18 April lalu, hanya sebulan selepas dia dimasukkan ke hospital.
Peguam keluarganya dilaporkan berkata, ahli patologi mengesahkan dia meninggal dunia akibat kecederaan di kaki dan bahu, ketika berada dalam tahanan polis.
Ibu Ganapathy, S Thanaletchumy mendakwa anaknya dipukul dengan paip getah ketika dalam tahanan polis sehingga menyebabkan kakinya perlu dipotong.
Thanaletchumy dalam laporannya berkata, Ganapathy yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan masalah jantung, dalam keadaan sihat ketika ditahan 24 Feb lalu bagi membantu siasatan ke atas seorang lagi anaknya yang dikehendaki polis.
Mengenai dakwaan Arifai tiada bukti Ganapathy meninggal dunia akibat dipukul ketika dalam tahanan polis, Ahli Parlimen DAP itu mengingatkan beliau, tiada bukti juga untuk menunjukkan ia tidak berlaku.
Oleh itu, katanya, inkues perlu diadakan segera untuk menentukan punca kematian Ganapathy dan peranan polis, jika ada.
“Walaupun Arifai menafikan serangan itu, ibu Ganapathy mendakwa anaknya memberitahu dia dipukul polis
“Dakwaannya juga tidak boleh ditolak, tanpa sebarang siasatan sewajarnya.”