2 kru cedera, kapal bawa diesel terbakar

2 kru cedera, kapal bawa diesel terbakar

Seorang kru berusia 30-an melecur 90% badan manakala rakannya berumur 50 tahun cedera di bahagian kepala.

Kejadian kira-kira 4 petang itu melibatkan kapal tempatan membawa muatan diesel. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua kru kapal tangki yang membawa muatan diesel cedera dan melecur dalam kebakaran dari bahagian dalam kapal tersebut semasa berlabuh di perairan Harbour Trade Centre, Gat Lebuh Macallum, Pulau Pinang, petang tadi.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Muzamer Mohd Salleh dipetik Bernama berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 4.02 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kebakaran membabitkan kapal tempatan membawa muatan diesel.

“Pihak bomba dimaklumkan terdapat dua pekerja lelaki berada di dalam kapal berkenaan manakala dua lagi pekerja berjaya menyelamatkan diri.

“Seorang daripadanya berusia 30-an mengalami melecur 90% pada badan manakala rakannya berumur 50 tahun cedera di bahagian kepala dan tidak melecur,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Katanya kedua-dua mangsa warga tempatan itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata 50 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Lebuh Pantai, Jalan Perak, Bagan Jermal dan Bayan Baru dibantu Pasukan Bomba Sukarela di kawasan itu terlibat dalam operasi tersebut dan api berjaya dikawal pada 4.44 petang.

“Pihak bomba masih membuat pemantauan dan kawalan di kawasan kapal itu bagi memastikan tiada api, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.