
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Mohamad, berkata demikian di sebalik ramalan pakej menunaikan umrah pasca Covid-19 dijangka meningkat sekali ganda.
Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Razali Mohd Sham, berkata peningkatkan mendadak itu tidak dapat dielakkan kerana pengusaha terpaksa mematuhi peraturan baharu berkaitan penjarakan fizikal dan bayaran untuk ujian saringan dan kuarantin.
Katanya, sebelum pandemik, harga pakej biasa ditawarkan pada kadar RM5,800 tetapi harga kini mencecah RM10,800, Berita Harian melaporkan.
“Bayaran ini termasuk (kos) dua kali ujian saringan Covid-19 (masuk dan keluar), kos bilik daripada empat sebilik kepada dua orang sebilik dan kapasiti pengangkutan dikurangkan separuh serta kos untuk kuarantin tiga hari di Arab Saudi.
“Terbaharu kita dimaklumkan mengenai insurans untuk Covid-19. Ini juga menyebabkan kos meningkat dan tidak dapat dielakkan,” katanya.
Bernama memetik Zulkifli sebagai berkata pihaknya akan meneliti kenyataan kerajaan Saudi terlebih dahulu berhubung perlindungan insurans untuk jemaah.
“Masalah itu tidaklah besar sangat sebab kita banyak badan dan ejen insurans diiktiraf, dan perkara ini kami akan perhalusi satu persatu,” katanya kepada pemberita.
Semalam media melaporkan syarat terbaharu itu, diumumkan Bank Pusat Saudi dan Majlis Koperasi Insurans Kesihatan, bertujuan menyediakan rawatan kesihatan kepada individu dilindungi insurans, jika dijangkiti Covid-19 sepanjang tempoh mereka berada di negara itu.
Ia juga untuk membolehkan pesakit mendapat akses segera kepada rawatan selain menyediakan perlindungan insurans untuk menampung kos bagi kes yang dikesan serta kuarantin, selain kes kecemasan untuk pemindahan perubatan.