Selepas kejayaan pada hujung minggu itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19, Khairy Jamaluddin, berkata program sukarela untuk vaksin AstraZeneca ini akan segera dibuka ke seluruh negara.
Dengan jutaan dos yang dijangka akan tiba dalam beberapa bulan akan datang, FMT melihat secara lebih dekat vaksin tersebut dan bagaiman ia berfungsi.
Apa itu AstraZeneca?
Secara rasmi dijenamakan sebagai “Covishield”, vaksin AstraZeneca dikembangkan melalui perkongsian antara syarikat gergasi farmasi dan Universiti Oxford.
Ia dihasilkan menggunakan versi virus selesema yang lemah (dikenali sebagai adenovirus) dari cimpanzi. Ia telah dimodifikasi untuk menghasilkan bahan genetik yang dikongsi oleh Koronavirus, bagi mengajar tubuh bagaimana melawan anasir yang perlu sekiranya berdepan dengan virus pada masa akan datang.
Seperti kebanyakan vaksin Covid-19 yang lain, AstraZeneca memerlukan dua dos. Banyak negara telah bereksperimen dengan tempoh ideal untuk dua dos vaksin ini dipisahkan, dan Malaysia telah menetapkan tempoh 12 minggu buat masa ini.
Keutamaannya adalah untuk memastikan lebih ramai mendapatkan satu dos daripada mengejar untuk melengkapkan dua dos.
Beberapa penyelidikan juga menunjukkan selang waktu yang lebih lama antara suntikan dapat menghasilkan tindak balas imun yang lebih kuat.
Jumlah keberkesanannya berbeza-beza dari percubaan ke satu percubaan, tetapi vaksin secara umumnya sekitar 70% hingga 80% berkesan untuk mencegah penyakit ringan dan sederhana, dan 100% melindungi dari penyakit yang teruk.
Perlu diingat bahawa vaksin tidak 100% berkesan untuk mencegah penyakit. Sebagai contoh, suntikan selesema yang diberikan pada tahun 2020 hanya sekitar 37% hingga 50% berkesan dalam mencegah selesema, bergantung pada jenis.
Adakah ia selamat?
Seperti mana-mana vaksin, ubat atau rawatan, akan ada kesan sampingan. Sebilangan besarnya bersifat ringan dan sementara, misalnya mual, demam dan sakit di sekitar tempat suntikan pada lengan.
Pembentukan gumpalan darah, secara perubatannya dikenali sebagai trombosis, telah diperhatikan pada sebilangan kecil penerima yang telah mengambil vaksin. Sebagai tindak balas, negara-negara Eropah seperti Belgium, Itali, Sepanyol, Jerman dan Perancis mengesyorkan agar vaksin ini hanya diambil oleh mereka yang berusia lebih daripada 60 tahun, dan United Kingdom telah menasihati mereka yang berusia antara 18 hingga 24 tahun untuk mengambil vaksin yang lain, jika ada.
Bagaimanapun, ketika kebimbangan ini mendapat liputan dunia yang meluas, kadar insiden pembentukan gumpalan darah sebenarnya sangat rendah.
Sehingga 21 April, Badan Pengawalseliaan Ubat-ubatan dan Produk Kesihatan (MHRA) United Kingdom mendapati terdapat hanya 209 insiden daripada 22 juta dos yang diberikan di rantau ini.
Ini bermakna daripada 260,000 orang yang baru mendaftar untuk menerima vaksin, hanya dua atau tiga orang yang mengalami pembekuan darah.
Kemungkinan terjadinya pembekuan darah selepas mengambil vaksin ini adalah sekitar 0.00093% menurut MHRA, lebih rendah daripada ketika mengambil pil kawalan kehamilan (0.05 hingga 0.12%) atau perokok (0.18%).
Ia juga terbukti selamat untuk digunakan terhadap individu yang menderita penyakit kronik, terutamanya terhadap mereka yang cenderung mengalami komplikasi jika dijangkiti.
Kesimpulannya, Walaupun mungkin terdapat kesan sampingan, ia biasanya ringan dan sementara, begitu juga kesan sampingan yang paling dikhuatiri, adalah sangat jarang berlaku.
Patutkah anda mengambilnya?
Malaysia tidak mewajibkan pengambilan vaksin ini, jadi tidak ada paksaan atau kewajipan untuk mendaftar vaksin AstraZeneca jika anda tidak menginginkannya.
Namun, untuk mencapai sasaran imuniti kelompok 80% yang menjadi pencapaian utama seterusnya dalam melawan pandemik ini, seramai mungkin individu perlu divaksin.
Sebagaimana yang sering ditekankan pakar perubatan dan kerajaan, manfaat pengambilan vaksin yang telah diluluskan adalah melebihi risiko. Bukan hanya mereka yang diberi vaksin menyumbang kepada keupayaan keseluruhan negara dalam memerangi pandemik ini, ia turut membendung penularan Covid-19, di mana Malaysia ketika ini merekodkan kadar kematian pada 0.37%.
Ahli bagi pendidikan komuniti dan kumpulan kesedaran INFOVAX, M Murallitharan berkata, keselamatan vaksin ini turut disokong oleh penyelidikan, selain mengingatkan untuk tidak mempercayai maklumat yang tidak sahih di media sosial.
“Mereka yang menjadi sukarelawan (vaksin AstraZeneca) mempunyai peluang yang sangat baik untuk mendapat perlindungan yang diberikan melalui vaksinasi Covid-19 berbanding tempoh yang agak lama jika menunggu giliran secara normal. Dengan peningkatan jumlah jangkitan, komplikasi dan kematian, ia adalah satu suntikan yang mungkin anda perlukan secepat mungkin,” katanya.
Bagaimana untuk mendaftar?
Disebabkan keprihatinan orang ramai, Menteri Penyelaras yang bertanggung jawab ke atas program vaksinasi Khairy Jamaluddin telah menarik vaksin AstraZeneca dari Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan memaklumkan ia hanya akan tersedia secara sukarela.
Walaupun slot tempahan kali ini penuh, Khairy di laman Twitter hujung minggu lalu menawarkan beberapa perincian mengenai peluang sukarelawan di masa hadapan untuk mendapatkan vaksin ini.
“Kami (kerajaan) dijadualkan menerima satu juta dos (AztraZeneca) bulan ini melalui COVAX. Kami akan memperluas penyertaan sukarelawan ke negeri-negeri lain (kecuali Sarawak, yang telah menolak) dan memastikan mereka yang tidak mempunyai akses internet, dan lain-lain juga dapat mendaftar,” katanya.
Sekiranya anda berminat, terus ikuti saluran rasmi seperti @Khairykj dan @JKJAVMY di Twitter untuk maklumat terkini, dan daftar di laman web rasmi program apabila slot dibuka semula.