Setiap kementerian keluar SOP khusus untuk sektor berkaitan

Setiap kementerian keluar SOP khusus untuk sektor berkaitan

Senarai SOP untuk umum juga boleh didapati di laman Majlis Keselamatan Negara.

Dr Noor Hisham Abdullah dan Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media bersama di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, setiap kementerian akan mengeluarkan SOP khusus untuk sektor dan industri berkaitan di bawahnya.

Beliau berkata, SOP itu akan disiarkan di laman sesawang setiap kementerian.

Dalam sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, katanya, senarai umum SOP untuk seluruh negara akan dikeluarkan di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau turut memberi jaminan perintah kawalan pergerakan (PKP) di seluruh negara yang mula dilaksanakan esok, sama seperti PKP 2.0, tetapi dengan SOP lebih ketat.

“Melihat kepada faktor ekonomi rakyat dan sebagainya, PKP ketika ini seperti juga PKP 2.0, bagaimanapun terdapat sedikit perubahan dari segi SOP, kita lebih perketatkan lagi.”

Mengulas perubahan kerap terhadap SOP, Ismail berkata, peraturan ditetapkan berdasarkan situasi semasa.

Tetapi, katanya, peraturan untuk PKP 3.0 tidak seketat PKP pertama pada Mac 2020 kerana kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat ketika membuat SOP, khasnya dalam aspek kos sara hidup.

“Apabila kita memperkenalkan SOP, ianya melalui beberapa peringkat, bukan terus diumumkan seperti yang rakyat lihat di televisyen.

“Terdapat keputusan yang terpaksa diambil segera dan
ia dilihat berubah, namun hakikatnya ia mengambil kira laporan harian yang diterima.

“Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi rakyat, khususnya mereka yang bergantung kepada pendapatan harian, sebab itu kerajaan mengambil keputusan untuk membenarkan sektor ekonomi untuk dibuka dengan SOP lebih ketat.”

Ismail berkata, setiap kementerian akan mencadangkan beberapa SOP kepada sebuah jawatankuasa teknikal yang akan membentangkannya kepada sidang khas MKN dipengerusikan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Setiap keputusan kita berpandukan pembentangan dan nasihat Kementerian Kesihatan kerana ini melibatkan masalah kesihatan rakyat. Jadi, barulah kita setuju dan selepas itu diumumkan,” katanya sambil menambah mesyuarat MKN kini diadakan tiga kali seminggu berbanding seminggu sekali sebelum ini.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan PKP ketiga mulai esok hingga 7 Jun, dengan semua aktiviti sosial, termasuk ziarah hari raya dilarang sama sekali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.