
Presiden Abdul Hadi Awang menyifatkan darurat yang diisytiharkan awal tahun ini sebagai “wajib” untuk membendung pandemik itu dan mahu perlindungan wajar diberikan kepada barisan depan.
“Perlindungan melalui undang-undang yang tegas terhadap pengacau tugas barisan depan pada masa darurat ini hendaklah digubal.
“Pada masa yang sama, tindakan yang tegas dikenakan terhadap mana-mana pengacau yang boleh melemahkan semangat barisan depan,” kata beliau.
Hadi menyifatkan golongan pengacau itu sebagai “makhluk perosak (yang) hanyalah mencari kesalahan untuk memprovokasi golongan bodoh dan lemah akal yang berkeliaran dalam masyarakat.”
“Pengacau memainkan peranan melalui langkah yang sengaja diatur atau tersendiri, melalui saluran media terbuka secara bebas khususnya media sosial yang bersifat makhluk perosak dan pengacau.
“Golongan ini hendaklah diburu di mana sahaja tempat persembunyian mereka dan dari mana sahaja datangnya,” kata Hadi.
PAS parti komponen Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin, manakala Hadi dilantik duta khas perdana menteri itu ke Timur Tengah.
Tindakan Muhyiddin mengusulkan perisytiharan darurat dikecam pelbagai pihak termasuk pembangkang yang menyifatkannya sebagai taktik untuk menggantung Parlimen, menangguhkan pilihan raya umum untuk kekal berkuasa.
Menurut pengkritik, hakikat Malaysia menghadapi satu lagi gelombang kes Covid-19 membuktikan pelaksanaan darurat itu tersasar daripada matlamat mengekang pandemik berkenaan.
Bagaimanapun, Hadi membela tindakan kerajaan itu dan berkata darurat itu amat diperlukan untuk mengambil tindakan tegas dalam mengekang penularan Covid-19.
“Dalam tempoh darurat hari ini, kita hendaklah melupakan perbezaan agama, bangsa, fahaman politik, dan segala kepentingan termasuk kepentingan harta perniagaan dan diri setiap individu.
“Semua pihak wajib memberikan sumbangan harta dan tenaga masing-masing, bahkan boleh dikerahkan untuk memberikan sumbangan secara paksa yang dilakukan dengan sistematik dan terkawal,” kata beliau.