Penganggur dituduh liwat, bunuh bayi 9 bulan

Penganggur dituduh liwat, bunuh bayi 9 bulan

Mohamed Badruldin Mohamed tidak dibenarkan diikat jamin, dan kesnya akan disebut semula pada 15 Jun.

Tertuduh dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan membunuh dan meliwat bayi lelaki berusia sembilan bulan.

Mohamed Badruldin Mohamed, 36, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, menurut laporan MalaysiaGazette.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, Badruldin didakwa membunuh mangsa berusia sembilan bulan itu antara jam 8 pagi hingga 3.30 petang di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang 1, Taman Putra Damai, Jalan PJU1A/42 di Petaling Jaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Badruldin bagi pertuduhan itu kerana kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan kedua, melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan memasukkan kemaluan ke dalam dubur mangsa tanpa kerelaannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 377c Kanun Keseksaan, jika didapati bersalah boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Alison Chan May Kam, manakala tertuduh tidak diwakili peguambela.

Mahkamah memerintahkan tiada jaminan dibenarkan ke atas tertuduh dan menetapkan 15 Jun sebagai tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes tersebut.

Laporan sebelum ini menyebut suami kepada pengasuh bayi yang ditahan polis pada 29 April lalu akan didakwa di mahkamah.

Lelaki itu berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala isterinya akan dituduh bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes itu terbongkar apabila IPD Petaling Jaya menerima laporan daripada doktor di Hospital Sungai Buloh menyatakan menerima bayi lelaki berkenaan pada 7 malam, 27 April lalu dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.