Saya langgar SOP, sedia terima tindakan, kata Dr M

Saya langgar SOP, sedia terima tindakan, kata Dr M

Pada 8 Mei lalu, bekas perdana menteri itu pulang ke Langkawi bagi memenuhi undangan program sumbangan kepada penduduk di surau Tsunami Batu Arang, Kuala Teriang, Kuah.

PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mengakui kesalahannya melanggar SOP ketika menghadiri satu acara di Langkawi, Kedah baru-baru ini dan bersedia untuk dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen kawasan berkenaan berkata, Covid-19 adalah wabak yang serius dan penyakit itu tidak mengenali sesiapa ataupun sempadan kawasan.

“Saya minta maaf kerana tidak patuh SOP. Saya akan terima tindakan mengikut undang-undang berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Pada 8 Mei lalu, beliau dilaporkan pulang ke Langkawi bagi memenuhi undangan program menyampaikan sumbangan antaranya sumbangan raya kepada penduduk di surau Tsunami Batu Arang, Kuala Teriang, Kuah.

“Saya dimaklumkan pada acara tersebut, saya telah melanggar SOP dengan tidak mengambil suhu badan apabila masuk ke surau tersebut.

“Ini merupakan satu kesalahan. Perkara ini tidak harus berlaku,” katanya.

Terdahulu, bekas perdana menteri Najib Razak memuat naik video menunjukkan Mahathir tiba di satu majlis dan tidak mengambil suhu badan sebelum masuk ke dalam kawasan penganjuran majlis berkenaan.

“Haritu saya dikenakan dua kompaun sebab lupa imbas suhu badan dan scan MySejahtera sebelum masuk premis…,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.