(DATA) Covid-19: Varian ganas ancam cetus ‘tsunami’ kes harian baharu

(DATA) Covid-19: Varian ganas ancam cetus ‘tsunami’ kes harian baharu

KKM sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil, dan India.

KUALA LUMPUR:
Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu Covid-19 tetapi juga perlu ‘berperang’ dengan varian koronavirus yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian yang lebih tinggi.

Malah kadar kes harian baharu dijangkakan boleh mencecah sehingga lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, baru-baru ini memberitahu sidang media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari UK, Afrika Selatan, Brazil, dan India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat varian berkenaan sebagai ‘varian yang membimbangkan’ (VOC) di peringkat global.

Menurut Hisham, varian yang paling banyak dikesan di negara ini varian dari Afrika Selatan (varian South African B.1.351) dan kes Covid-19 daripada jangkitan varian berkenaan dikesan menular di beberapa negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, dan Perak.

Sehingga kini, sebanyak 62 kes positif Covid-19 dikesan melibatkan varian South African B.1.351 sementara varian dari India (B.1.617) yang dikesan setakat ini melibatkan dua kes (B.1.617.1 dan B.1.617.2) dan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

Menurut Hisham, kes B.1.617.2, melibatkan bukan warganegara tiba di Malaysia pada 7 April 2021 dan kedua-dua ujian Covid-19 (pada 7 April dan 12 April) didapati negatif. Beliau dilaporkan positif pada 21 April dan meninggal dunia pada 1 Mei 2021.

Mengenai varian Brazil, beliau berkata, KKM setakat ini masih belum mengesan kes Covid-19 jangkitan varian berkenaan.

Untuk rekod, pada 11 Januari 2021, KKM memaklumkan pihaknya mengesan satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 melibatkan pengembara dari Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke UK pada bulan Disember 2020. Pengembara itu didapati positif

Malaysia sebelum ini menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, dan Pakistan, sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Hisham turut menekankan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan dari 12 Mei hingga 7 Jun depan antara usaha untuk mengekang penularan varian baharu yang mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kematian yang tinggi.

Malah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, yang turut menyentuh perkembangan mutakhir penularan Covid-19 menyebut “Malaysia kini berada pada titik genting” dan penularan varian baharu harus disekat. Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Menurut Perdana Menteri lagi, hampir semua kawasan di negara ini bertukar menjadi “merah” dengan hampir kira-kira 70% kes jangkitan berlaku secara sporadik (penularan dalam komuniti) dan hampir 80% kes positif dikesan tidak mempunyai sebarang gejala.

Lonjakan kes baharu, kematian

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (8 Mei hingga 13 Mei 2021), Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu Covid-19 melebihi 3,000 dan menghampiri 5,000 kes di samping kes kematian yang tinggi.

Sehingga 12 tengah hari semalam (Khamis 13 Mei 2021), Malaysia merekod sebanyak 4,855 kes harian baharu Covid-19, iaitu tertinggi sepanjang tempoh rangkuman ini.

Terdapat dua hari kes harian mencatat sekitar empat ribu iaitu pada Sabtu 8 Mei (4,519 kes) dan Rabu 12 Mei (4,765 kes).

Kes aktif dengan kebolehjangkitan yang dicatat semalam melonjak kepada 41,582 kes, sementara kes kumulatif pula sudah sebanyak 458,077 kes.

Berikut bilangan kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 8 Mei hingga 13 Mei 2021:

  • 8 Mei (4,519 kes)
  • 9 Mei (3,733 kes)
  • 10 Mei (3,807 kes)
  • 11 Mei (3,973 kes)
  • 12 Mei (4,765 kes)
  • 13 Mei (4,855 kes)

Sementara itu, sebanyak 27 kes kematian lagi dilaporkan semalam 13 Mei 2021, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,788 kes, semuanya warganegara.

Kes kematian tertinggi untuk tempoh rangkuman dilaporkan pada Rabu 12 Mei iaitu 39 kes.

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 8 Mei hingga 13 Mei 2021:

  • 8 Mei – 25 (23 Warganegara 1 Bukan Warganegara )
  • 9 Mei – 26 kes (25 WN 1 BWN)
  • 10 Mei – 17 kes (16 WN 1 BWN)
  • 11 Mei – 22 kes (22 WN)
  • 12 Mei – 39 kes (37 WN 2 BWN)
  • 13 Mei – 27 kes (27 WN)

Bilangan kes pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke ICU turut kritikal dan setakat 13 Mei 2021, KKM melaporkan 481 kes dan 247 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Hisham pada Selasa lepas menyatakan KKM “sedang cuba menambah bilangan katil di ICU berikutan peningkatan pesakit yang memerlukan rawatan rapi. Permintaan untuk katil ICU dijangka bertambah sehingga lebih 1,700 unit dengan jangkaan kes harian baharu meningkat pada akhir Mei atau pertengahan Jun depan.”

Menurut beliau, terdapat sebanyak 734 katil ICU di seluruh negara dan setakat ini lebih 500 buah katil sudah digunakan termasuk untuk pesakit Covid-19.

Malaysia pernah mencatat kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 melepasi angka 50 ribu pada Gelombang Ketiga Covid-19 iaitu sebanyak 50,894 kes pada 6 Februari 2021.

Berikutan trend kes harian baharu Covid-19 yang semakin meningkat, kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Larangan rentas daerah dan negeri turut tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan kecemasan, kesihatan, bekerja, ekonomi, temu janji vaksinasi, dan pasangan jarak jauh.

Semakin ramai positif

Berdasarkan data KKM, warganegara masih menyumbang purata 90% kepada kes harian baharu Covid-19 sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama. Rekod KKM semalam (13 Mei 2021), daripada 4,855 kes, penularan tempatan sebanyak 4,852 kes (4, 494 warganegara – 92.6% dan 358 bukan warganegara – 7.4%).

Kes import pula sebanyak tiga (3) kes dan semuanya bukan warganegara.

Berikut adalah data yang menunjukkan situasi berkenaan, termasuk kes harian baharu dan kes kumulatif, berdasarkan makluman KKM.

  • Sabtu 8 Mei – Kes baharu: 4,519 kes (436,944 kes kumulatif); Kes tempatan: 4,514 kes (3,964 warganegara [87.8%]; 550 bukan warganegara [12.2%]); Kes import: 5 kes (5 warganegara)
  • Ahad 9 Mei – Kes baharu: 3,733 kes (440,677 kes kumulatif); Kes tempatan: 3,727 kes (3,301 warganegara [88.6%]; 426 bukan warganegara [11.4%]); Kes import: 6 kes (1 warganegara, 5 bukan warganegara)
  • Isnin 10 Mei – Kes baharu: 3,807 kes (444,484 kes kumulatif); Kes tempatan: 3,802 kes (3,642 warganegara [95.8%]; 160 bukan warganegara [4.2%]); Kes import: 5 kes (2 warganegara, 3 bukan warganegara)
  • Selasa 11 Mei – Kes baharu: 3,973 kes (448,457 kes kumulatif); Kes tempatan: 3,968 kes (3,540 warganegara [89.2%]; 428 bukan warganegara [10.8%]); Kes import: 5 kes (1 warganegara, 4 bukan warganegara)
  • Rabu 12 Mei – Kes baharu: 4,765 kes (453,222 kes kumulatif); Kes tempatan: 4,758 kes (4,291 warganegara [90.2%]; 467 bukan warganegara [9.8%]); Kes import: 7 kes (5 warganegara, 2 bukan warganegara)
  • Khamis 13 Mei – Kes baharu: 4,855 kes (458,077 kes kumulatif); Kes tempatan: 4,852 kes (4,494 warganegara [92.6%]; 358 bukan warganegara [7.4%]); Kes import: 3 kes (3 bukan warganegara)

Dengan 458,077 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 42 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Malaysia mengatasi Nepal (431,191 kes) dan di hadapan Malaysia adalah Maghribi (514,670 kes).

Setakat 13 Mei 2021, sebanyak 3,347 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 414,707 kes (90.5%).

Sementara rekod kes sembuh harian sepanjang tempoh rangkuman ini:-

  • 8 Mei (2,719 kes)
  • 9 Mei (3,211 kes)
  • 10 Mei (3,454 kes)
  • 11 Mei (3,848 kes)
  • 12 Mei (3,124 kes)
  • 13 Mei (3,347 kes)

Kluster baharu

Laporan harian Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19 turut menunjukkan masih ada kluster baharu dikesan dan kluster tempat kerja masih membiak kes positif Covid-19 yang banyak di samping kluster komuniti.

Sehingga Khamis 13 Mei 2021, sebanyak lapan (8) lagi kluster baharu, menjadikan jumlah kluster yang direkod dalam negara sebanyak 1,848 kluster. Sebanyak 1,391 kluster dilaporkan tamat dan masih aktif sebanyak 457 kluster.

Daripada lapan (8) kluster baharu, lima (5) adalah kluster tempat kerja iaitu dua (2) di Selangor, dua (2) di Johor, dan satu (1) di Pulau Pinang; dua (2) kluster komuniti (masing-masing satu di Sarawak dan Sabah) dan satu (1) kluster keagamaan, iaitu di Melaka.

Sementara itu, Hisham di Facebook pada Khamis 13 Mei 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 13 Mei 2021 untuk seluruh negara kekal 1.14. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Kedah (1.25), Perak (1.23) dan Melaka (1.22).

R-Naught (Ro/Rt) iaitu kebolehjangkitan satu kes positif Covid-19 kepada orang lain dalam tempoh kebolehjangkitan sepanjang tempoh rangkuman Bernama (8 Mei hingga 13 Mei 2021) secara konsistennya berada pada kadar lebih 1.0. Sebelum ini, kadar Ro 0.5 diperlukan untuk melandaikan lekuk jangkitan koronavirus maut ini.

Perincian kes

Berdasarkan perincian KKM untuk 4,855 kes harian baharu Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Khamis 13 Mei 2021, Selangor masih mencatat kes tertinggi empat angka dan semalam menokok lagi 1,783 kes.

Sebelum semalam, untuk tempoh rangkuman ini, Selangor mencatat kes tertinggi pada:

  • Sabtu 8 Mei (1,722 kes)
  • Ahad 9 Mei (1,278 kes)
  • Isnin 10 Mei (1,149 kes)
  • Selasa 11 Mei (1,328 kes)
  • Rabu 12 Mei (2,082 kes)

Sembilan (9) buah negeri mencatat kes harian baharu tiga angka iaitu Kuala Lumpur (521 kes), Johor (467), Sarawak (395), Pulau Pinang (395), Kelantan (330), Perak (302), Kedah (193), Terengganu (148), dan Negeri Sembilan (100).

Untuk kes harian baharu dua angka, tiga buah negeri dilaporkan iaitu Sabah (76 kes), Melaka (67), dan Pahang (56). Sementara Putrajaya dan Labuan melaporkan kes harian baharu satu angka, masing-masing sembilan (9 kes) dan empat (4).

Perlis mencatat sifar (0) kes.

Statistik global

Jumlah kes Covid-19 global terkini adalah 161,824,992 kes (minggu lalu 156,816,184 kes) dengan 3,358,520 kematian (minggu lalu 3,272,370 kematian). Jumlah pesakit sembuh sebanyak 139,623,101 orang (minggu lalu 134,205,395 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik Covid-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah AS, India, Brazil, Perancis, Turki, Rusia, UK, Itali, Sepanyol, dan Jerman.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:

  • AS 33,626,097 kes (598,540 kematian)
  • India 24,046,120 kes (262,350 kematian)
  • Brazil 15,436,827 (430,596 kematian)
  • Perancis 5,841,129 kes (107,250 kematian)
  • Turki 5,083,996 (44,059 kematian)
  • Rusia 4,913,439 (114,723 kematian)
  • UK 4,444,631 (127,651 kematian)
  • Itali 4,139,160 kes (123,745 kematian)
  • Sepanyol 3,598,452 kes ( 79,281 kematian)
  • Jerman 3,575,644 kes ( 86,276 kematian)

Negara China, di mana bermulanya wabak COVID-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 97 dengan 90,815 kes. Angka kematian kekal 4,636 kes.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 90 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19.

  • Indonesia di tangga 18 – 1,731,652 kes (47,716 kematian)
  • Filipina di tangga 25 – 1,124,724 kes (18,821 kematian)
  • Myanmar di tangga 82 – 143,004 kes (3,212 kematian)
  • Thailand di tangga 94 – 93,794 kes (518 kematian)
  • Singapura di tangga 105 – 61,453 kes (31 kes kematian)
  • Kemboja di tangga 129 – 21,141 kes (142 kematian)
  • Vietnam di tangga 177 – 3,710 kes (35 kematian)
  • Laos di tangga 190 – 1,482 kes (1 kematian)
  • Brunei di tangga 201 – 231 kes (tiga kematian)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.