Dr M: Kejamnya Israel terhadap Palestin seperti kejamnya Nazi terhadap Yahudi
Bekas perdana menteri berkata masalah Israel-Palestin mesti diselesaikan secara diplomasi.
PETALING JAYA: Kekejaman orang Israel terhadap orang Palestin sama seperti kejamnya Nazi terhadap orang Yahudi, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau sekali lagi tampil ke kaca televisyen bagi mengecam ‘tindakan pengecut’ orang Israel, menerusi Astro Awani hari ini.
“Kita sangka akan ada perasaan simpati terhadap orang yang menderita, lantaran penderitaan yang orang Yahudi alami semasa rejim Nazi, apabila jutaan dikurung dalam kem tahanan.
“Sebaliknya, orang Israel melakukan kekejaman yang sama terhadap orang Palestin, dalam usaha mereka merampas tanah Palestin.”
Mahathir, yang dikenali lantang dalam isu Palestin, berkata perlunya suatu penyelesaian secara diplomasi bagi menyelesaikan masalah itu kerana tiada kebaikan yang boleh diperolehi dengan keganasan.
Beliau menyeru semua negara Islam dan negara yang mendukung hak asasi manusia supaya membela orang Palestin, menegaskan betapa pentingnya untuk semua pihak berkenaan berbincang dan memikirkan strategi bagi mencapai kemenangan.
“Jika mereka menyokong perjuangan orang Palestin, saya percaya kita akan temui penyelesaian bagi konflik Arab-Israel ini. Tidak ada faedah kalau hanya memikirkan dendam.”
Bagi Mahathir, roket yang dilancarkan dari Gaza tidak setanding kemusnahan yang Israel lakukan ke atas bumi Palestin.
Beliau mengecam polis Israel kerana menyerang orang Palestin di Majlis Al-Aqsa, Baitulmaqdis ketika mereka sedang bersolat dan lemah.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Saya berharap situasi ini akan membuka mata dunia Islam,” katanya, menyifatkan kegiatan Israel terhadap orang Palestin sebagai tidak berperikemanusiaan.