
Mereka dalam kenyataan hari ini berkata, kerajaan perlu menghentikan intimidasi terhadap kumpulan anak muda itu yang hanya melaksanakan hak bebas bersuara dan berhimpun di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Kejadian ini yang dilabel sebagai rusuhan oleh pelbagai pihak sebenarnya adalah acara tahunan yang digerakkan anak muda Parit Raja, yang tidak pernah diambil tindakan oleh pihak berkuasa sebelum ini.
“Namun tahun ini, acara tersebut sedikit berbeza kerana ia digunakan sebagai medium untuk menyuarakan realiti hidup kesusahan rakyat di kampung tersebut dan rakyat marhaen secara umumnya melalui kain rentang #KerajaanGagal.”
Antara NGO dan parti politik yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Suaram, Tenaganita, Pemuda Amanah, Pemuda DAP, Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Pemuda Parti Sosialis Malaysia (PSM), Malaysia Muda, Undi18 dan Pejuanita Muda.
Khamis lalu, klip video dan gambar himpunan membabitkan pembakaran suar dan kain rentang “kerajaan gagal” di Parit Raja, Batu Pahat, tular di media sosial.
Setakat ini, 20 penduduk tempatan berusia 16 hingga 28 tahun ditahan polis.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 144, 269 dan 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan, Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan.
Kumpulan NGO itu berkata, ramai rakyat marhaen terkesan dengan kegagalan kerajaan menguruskan pandemik selepas lebih setahun.
“Prosedur dan SOP yang sering berubah-ubah serta tidak jelas dan konsisten memberi kesan kepada orang ramai, terutamanya peniaga kecil serta bazaar di kampung yang terpaksa menanggung kerugian.
“Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam menyatakan beliau komited terhadap pemerkasaan belia, namun realitinya, kerajaan beliau hanya menghukum dan membungkam suara anak muda dan belia melalui intimidasi apabila mereka cuba menyuarakan keluhan rakyat marhaen.”
Mereka berharap kerajaan tidak memandang rendah suara anak muda, sebaliknya mendengar keluhan mereka dan berusaha mencari penyelesaian dalam menjaga kebajikan rakyat.