Tangguh laksana RUU Pekerja Gig, gesa 11 NGO

Tangguh laksana RUU Pekerja Gig, gesa 11 NGO

Sekumpulan NGO dakwa libat urus tak cukup serta banyak isu kritikal harus diteliti terlebih dahulu.

SIDANG MEDIA KHAS AKTA PEKERJA GIG
Sekumpulan 11 NGO pada sidang media gesa RUU Pekerja Gig, yang dijadualkan berkuat kuasa esok, ditangguh.
SUBANG JAYA:
Gabungan 11 NGO mewakili pekerja dan pengguna menggesa agar Rang Undang-undang (RUU) Pekerja Gig yang dijadualkan berkuat kuasa esok ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dimuktamadkan serta perbincangan bersama pihak berkepentingan dilaksanakan.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan pelaksanaan RUU itu kerana didakwa tiada libat urus mencukupi antara kerajaan dan MTUC.

“RUU ini dilihat pelik kerana proses sehingga ia dibawa ke Parlimen tidak melalui perbincangan yang baik dan adil. Sebelum ini, sebarang akta melibatkan kebajikan pekerja mesti melalui rundingan bersama MTUC,” katanya pada sidang media di Wisma MTUC.

Menurutnya, MTUC telah menghantar surat kepada Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bagi memohon pelaksanaan RUU tersebut ditangguhkan.

Antara NGO lain yang membantah pelaksanaan RUU itu termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM); Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM); Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar); Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis GiG Digital Malaysia (Lead Malaysia); dan Persatuan Kebajikan Pekerja Industri E-Hailing Malaysia (PKEH).

Selain itu, Pertubuhan Tenaga GiG Melaka; Persatuan Ekonomi Digital Melaka (EDiM); Persatuan Rakan Penghantar Melaka; Persatuan Rakan Penghantar Kedah; dan Persatuan Kebajikan Perkhidmatan Penghantar Bermotosikal Perak, turut menyuarakan bantahan.

Kamarul berkata, berdasarkan dapatan lapangan dan maklum balas pemain industri, beberapa isu kritikal dikenal pasti yang memerlukan penelitian lanjut sebelum RUU itu dilaksanakan.

“Antaranya takrifan pekerja gig dalam Seksyen 2 yang dilihat terlalu umum tanpa pembezaan subsektor yang jelas,” katanya.

“Selain itu, peruntukan hak berpersatuan bersama penubuhan Majlis Perundingan Gig boleh mewujudkan pertindihan saluran representasi pekerja tanpa kejelasan peranan dan fungsi.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar Abdul Hakim Abdul Rani berkata, pihaknya sebelum ini telah menyuarakan ketidaksetujuan kepada Kesuma.

Beliau berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan RUU itu bagi memastikan ia benar-benar holistik, praktikal dan berdaya tahan sebelum dilaksanakan secara menyeluruh.

Katanya, peningkatan premium insurans komersial dalam sektor e-panggilan memberi tekanan besar kepada pendapatan pekerja gig.

“Ia bukan sekadar isu kos operasi, tetapi tekanan struktur yang menghakis margin pendapatan pekerja,” katanya.

“Jika berlaku kenaikan, perlu ada ketelusan dari segi data dan justifikasi supaya penyelesaian boleh dicapai bersama.”

Hakim turut menggesa kerajaan menubuhkan platform libat urus berstruktur atau mekanisme ‘sandbox’ bagi menilai impak pelaksanaan secara terkawal dan berfasa.

“Ini penting untuk memastikan pelaksanaan akta ini lebih tersusun dan seimbang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.