MUDA dibenar cabar tiada tindakan menteri berkait pendaftaran parti

MUDA dibenar cabar tiada tindakan menteri berkait pendaftaran parti

Parti yang diketuai oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu mahu keputusan Hamzah Zainudin berhubung permohonannya.

MUDA, parti yang dipimpin oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mahukan keputusan mengenai permohonan pendaftarannya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi membenarkan MUDA, parti yang dipimpin oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, untuk mencabar ketiadaan tindakan menteri dalam negeri dalam memutuskan permohonan parti itu untuk didaftarkan sebagai parti politik.

Hakim Noorin Badaruddin memberi keizinan kepada MUDA untuk semakan kehakiman hari ini, selepas peguam kanan persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@ Arwi dan M Kogilambigai, masing-masing, mewakili kementerian itu dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), berkata mereka tidak membantah cabaran undang-undang parti tersebut.

MUDA diwakili peguam Lim Wei Jiet.

Mahkamah menetapkan 8 Jun untuk pengurusan kes seterusnya.

MUDA meminta perintah mahkamah untuk mendesak menteri, Hamzah Zainudin, membuat keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan mengenai permohonan pendaftaran parti mereka.

Awal tahun ini, JPPM menolak pendaftaran MUDA tanpa memberi sebarang alasan khusus. Parti itu kemudian mengemukakan rayuannya kepada menteri dalam negeri pada Februari, namun masih tiada maklum balas diterima dari Hamzah.

JPPM turut menolak permohonan pendaftaran Pejuang, yang diketuai Dr Mahathir Mohamad.

Pejuang turut memohon semakan kehakiman bagi mendesak Hamzah membuat keputusan berhubung permohonannya dan mahkamah akan mendengar kes itu pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.