2 pangsapuri di Cheras, KL bawah PKPD

2 pangsapuri di Cheras, KL bawah PKPD

Ia membabitkan semua blok di pangsapuri Permai serta blok C dan D untuk Pangsapuri Sri Penara.

PETALING JAYA:
Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di dua pangsapuri di Cheras dan Kuala Lumpur mulai Jumaat hingga 10 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan semua blok di pangsapuri Permai dan hanya blok C serta D untuk Pangsapuri Sri Penara.

Beliau berkata, terdapat peningkatan kes yang ketara di dua pangsapuri itu dalam 10 hari ini.

“Sebanyak 78 kes positif dikesan daripada 101 ujian saringan di Pangsapuri Permai.

“Di Pangsapuri Sri Penara pula, terdapat 111 kes positif Covid-19 selepas 123 penghuni disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beberapa lokaliti di Raub dan Temerloh, Pahang turut dikenakan PKPD dalam tempoh sama.

Ia membabitkan Taman Dato’ Tengku Paris dan Felda Tersang 1, 2 dan 3, Mukim Batu Talam di Raub, serta Mukim Perak dan Mukim Bangau di Temerloh.

Ismail berkata, 22 kes positif dikesan di Raub dan 180 kes positif di Temerloh.

Di Sabah, beliau berkata, PKPD di Kunak, Kota Belud dan Tawau akan dilaksanakan mulai Jumaat hingga 10 Jun ini.

Ia melibatkan Kampung Kabog, Kampung Kabog Baru, Kampung Kunak Darat dan Kampung Kunak 3 di Kunak, Kampung Pirasan Ulu di Kota Belud, serta Kampung Sungai Pukul, Taman Desa Ranggu dan Taman Sawit Balung di Tawau.

Di Perak, PKPD dilaksanakan di Mukim Parit Buntar, Kerian selepas 82 kes positif Covid-19 dilaporkan hasil saringan ke atas 623 orang, dengan kadar positiviti 13.1%.

“KKM juga mendapati Mukim Parit Buntar mencatatkan 44% daripada jumlah keseluruhan kes semasa di daerah Kerian dari 10 sehingga 23 Mei.”

Dalam pada itu, PKPD di Rumah Awam Kos Rendah Pelagat 3 di Besut, Terengganu yang dijadualkan tamat esok, dilanjutkan sehingga 4 Jun selepas 42 daripada 313 orang yang disaring disahkan positif.

Ismail berkata, PKPD di kuarters pekerja lombong Sungai Batu di Batu Talam, Raub ditamatkan mengikut jadual esok.

Dalam perkembangan lain, 628 individu ditahan semalam atas kesalahan melanggar SOP, dengan 609 daripadanya dikompaun dan 19 lagi direman.

Antara kesalahan itu ialah tidak memakai pelitup muka (162), gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (158), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (80), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (61), tiada penjarakan fizikal (47) dan lain-lain (120).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.